Ismail gembira pembangkang mulai ‘jinak’ selepas tandatangan MoU
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata Memorandum Persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara kerajaan dan pembangkang menampakkan impak yang baik.
Ismail berkata keadaan sekarang kelihatan agak tenang bukan sahaja di luar tetapi juga di dalam Dewan Rakyat yang sedang bersidang setiap Isnin hingga Khamis.
“Di luar lebih tenang tetapi serangan terhadap kerajaan seperti dahulu sudah berkurang. Walaupun pembangkang…saya dah beritahu mereka kekal sebagai pembangkang. Mereka kecam kerajaan itu kerja mereka, kita perlu semak dan imbang kepada kerajaan.
“Walaupun saya beritahu macam tu tapi keadaan agak kurang dari segi serangan kepada kerajaan di Parlimen. Di luar sana sangat sepi, tenang, ucapan pun tak ada yang agresif seperti dahulu setiap kali berucap mesti ada standing order (Peraturan Urusan Mesyuarat),” katanya pada sesi wawancara khas bersama editor kanan media di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dia berkata keadaan sekarang menampakkan sikap saling hormat menghormati yang semakin tinggi dalam kalangan ahli parlimen.
Ditanya adakah keadaan itu disebabkan oleh jalinan kerjasama kerajaan dengan pembangkang atau disebabkan oleh kepimpinanya sebagai perdana menteri, Ismail Sabri menjawab secara seloroh: “Saya tak tahu, tak boleh nak beritahu. Ketua pembangkang kata PM ni lebih sopan, itu pandangan peribadi,”.
Semasa ditanya sama ada input pembangkang diambil kira dalam penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), dia berkata sememangnya terdapat libat urus pembangkang serta jabatan kerajaan.
“Sebelum ni kalau buat taklimat kepada kerajaan sahaja tetapi tak buat dengan pembangkang, tetapi kali ini saya kata kita sekalikan (kerajaan dan pembangkang) semasa Unit Perancang Ekonomi (EPU) memberi taklimat.
“Tak ada gangguan, soalan tidak panas tetapi profesional kerana yang mereka mahu adalah jawapan sebenar,” katanya.
Perancangan RMK12, katanya, disediakan secara lebih inklusif, mengambil kira input dan cadangan bukan sahaja daripada kerajaan dan pembangkang tetapi juga pihak berkepentingan termasuk sektor awam dan swasta merangkumi pakar industri dan ahli korporat, ahli akademik, ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, pemimpin masyarakat, pertubuhan masyarakat sivil dan organisasi antarabangsa.
Walaupun MOU Transformasi dan Kestabilan Politik dengan pembangkang ditandatangani pada saat akhir pelaksanaan dokumen ini, namun terdapat beberapa pandangan yang telah diambil kira dalam memastikan integriti, akauntabiliti dan ketelusan dititikberatkan dalam dokumen RMK12.
Sumber – Malaysiakini