Ismail kecewa MoU disabotaj, malas campur tangan isu Melaka

Ismail kecewa MoU disabotaj, malas campur tangan isu Melaka

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk menyelesaikan isu pergolakan Kerajaan Melaka.

Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan bahawa Ahmad Zahid sudah mengadakan perbincangan berhubung perkara itu dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Kita serahkan kepada Presiden UMNO dan biar Melaka menyelesaikan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021, di sini, hari ini.

Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkuat kuasa serta-merta.

Tiga ADUN terbabit ialah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Ditanya kemungkinan krisis politik di Melaka akan turut ‘berjangkit’ hingga ke Putrajaya pula, Ismail Sabri berkata, apa saja boleh berlaku ketika ini.

“Kita berharap keadaan stabil. Sekarang selepas MoU (memorandum persefahaman) ditandatangani antara kerajaan dengan pembangkang, kita melihat keadaan politik stabil.

“Bukan saja kita melihat stabil dan tenang di Parlimen, malah seluruh negara juga dalam keadaan stabil dan rakyat ‘happy’ (gembira) dengan keadaan seperti ini.

“Tidak berlaku ‘politiking’ melampau seperti dulu yang akhirnya rakyat melihat orang politik hanya berpolitik tanpa melihat kepada kepentingan negara dan sebagainya,” katanya.

Ketika ini, beliau berkata, semua pihak termasuk pembangkang mahu menumpukan kepada soal pembangunan serta ekonomi.

“Dalam Parlimen pun nampak kerjasama itu baik dan rakyat suka melihat perkara ini berlaku. Justeru, kita berharap perkara ini kekal,” katanya

Sumber Berita Harian