Ismail Sabri patutnya cadang MKT jadikan KJ ‘poster boy’ PRU-15 dahulu – Puad

Ismail Sabri patutnya cadang MKT jadikan KJ ‘poster boy’ PRU-15 dahulu – Puad

Pemecatan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar disifatkan sebagai satu kerugian besar kepada UMNO.

Ini kerana dakwa Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau mesra dipanggil KJ mempunyai ‘magnet’ untuk menarik pengundi muda.

Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi Tetap UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi menafikan bahawa Khairy mempunyai magnet seperti didakwa kerana beliau tetap kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Sungai Buloh kepada calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Ismail Sabri kata, KJ ada magnet. UMNO rugi kerana buang magnet untuk tarik orang muda. Masa KJ jadi Ketua Pemuda ramaikah anak muda ditarik oleh magnet KJ untuk sokong UMNO?

“Mungkin anak muda sokong KJ tetapi bukan pada UMNO, KJ tidak merayu pemecatannya. Apa salahnya KJ tubuh parti baru kita tengok apakah anak muda akan berduyun masuk ikut magnet KJ,” katanya di laman Facebook, memetik Kosmo! Online.

Mohd. Puad menambah, jika Khairy seorang yang berani, beliau boleh menunbuhkan parti baharu seperti yang telah dibuat Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebelum ini.

“Kalau KJ kurang berani macam Syed Sadiq yang tubuh parti baru, KJ boleh join Bersatu atau PAS. KJ boleh buktikan magnet dia ok, jangan pula jadi penumpang kepada parti itu,” ujarnya

Pada masa sama, beliau turut menyalahkan Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri sebelum ini kerana gagal menjadi ‘poster boy’ yang mampu memberi kemenangan kepada Barisan Nasional pada PRU15 lalu.

“Ismail Sabri silap, patut dia cadang pada MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO supaya KJ ganti dia sebagai poster boy di PRU15 lalu.

“Alasannya dia tidak ada magnet, KJ ada magnet, ruginya UMNO kalau betul,” ujarnnya.

Sebelum ini, MKT UMNO memutuskan, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin Abu Bakar dan mantan Ketua Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dilucutkan keahlian daripada parti tersebut.

Selain dua dipecat, MKT UMNO turut menggantung keahlian Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Maulizan Bujang, Datuk Seri Mohd Salim Sharif dan Shahril Sufian Hamdan.

Antara kesalahan mereka ialah menjadi calon bebas, calon parti selain Barisan Nasional dan terlibat membantu parti lawan ketika (PRU15)