Istana RM14 bilion ini rupanya milik TMJ

Istana RM14 bilion ini rupanya milik TMJ

 

Penonton filem Crazy Rich Asian pastinya kagum saat melihat kemewahan ‘istana’ milik keluarga watak utamanya, Nick Young.

Salah satu keluarga yang terkaya di Singapura, rumah agam keluarga Young itu tersergam indah dan dihiasi dengan dekorasi bertemakan Oriental.

Namun tahukah anda, kemewahan yang digambarkan itu sebenarnya diinspirasikan daripada Istana Woodneuk milik keluarga diraja Johor.

Terletak di Taman Tyersall, Singapura, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh penulis buku Crazy Rich Asian, Kevin Kwan.

Pernah dimiliki oleh Almarhum Sultan Abu Bakar, istana lama itu kini didaftarkan dibawah nama Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Mula dibangunkan pada tahun 1935, istana yang dulunya mewah kini menjadi bangunan terbiar dua tingkat dan tidak berpenghuni.

Hal ini kerana, bangunan tersebut tidak pernah dibaiki sejak mengalami kerosakan teruk akibat insiden kebakaran pada tahun 2006.

Dibangunkan di hartanah termahal di Singapura, istana itu dianggarkan bernilai $3.5 bilion (sekitar RM14.26 bilion) jika dibaik pulih semula, lapor Bloomberg.

Baru-baru ini, timbul spekulasi bahawa Tunku Mahkota Johor berminat untuk membangunkan semula kawasan berkenaan.

Tidak dapat dipastikan kesahihannya, namun bangunan terbiar itu telahpun menjadi tarikan di Singapura khususnya bagi peminat Crazy Rich Asian.