Isteri jadi murung, suami tak kerja tapi ada hati kahwin dua
SOALAN
SUAMI saya tiada kerja tetap dan kerap tukar kerja. Baru-baru ini saya dapat tahu suami berkahwin lain. Saya kecewa kerana dia curang terhadap saya, selama ini saya yang membantunya. Bila memikirkan hal ini saya mulai murung.
Isteri merana
Jawapan:
Zaman ekonomi yang tidak menentu kini memang boleh menjadi punca bertukar tempat kerja. Tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan nafkah dalam rumah tangga.
Apabila berumahtangga persefahaman perlu ada sejak dari mula lagi. Bagi suami yang bersikap acuh tak acuh soal kerja dan tidak bersungguh-sungguh ini amat menyedihkan dan membuatkan isteri dalam tekanan, lebih-lebih lagi ia membabitkan soal kewangan dan poligami.
Apa yang perlu puan lakukan:
Kurangkan menghulur wang kepada suami. Beri jika perlu sahaja. Ini bagi mewujudkan rasa tanggungjawab dan tidak mengharapkan sepenuhnya kepada isteri.
Tegaskan suami perlu cari kerja tetap. Ini menunjukkan puan serius mahu dia berubah.
Mengenai isu kahwin lain, memang ia dibenarkan Islam tetapi suami tidak harus mengetepikan isteri. Hati isteri mana yang tidak terluka? Pun begitu bangkit dan belajar menerima. Ambil masa, lihat sama ada suami mampu bertanggungjawab atau sebaliknya.
Jika puan rasa emosi tidak terkawal, marah dan tak tenang, luahkan dan minta pandangan dari seseorang yang boleh membantu.