Isteri maut dilanggar suami ketika undur kereta dalam hujan

Isteri maut dilanggar suami ketika undur kereta dalam hujan

Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandu suaminya terlanggar mangsa sewaktu kenderaan sedang mengundur dalam kejadian di Taman Selasih, Kulim, Kedah pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh berkata, suami mangsa yang berusia 60 tahun itu tidak menyedari isterinya berada di belakang kereta lebih-lebih ketika hujan lebat.

Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga.

Selepas secara tidak sengaja melanggar mangsa, kenderaan itu turut merempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang sedang parkir di hadapan rumah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku sewaktu mangsa yang sebelum itu berada dalam kereta Proton Saga itu dan keluar kerana tertinggal barang di dalam rumah.

“Suami mangsa yang ketika itu sedang mengundur kereta berkenaan tertekan pedal minyak lalu terlanggar isterinya yang berada di tepi sebelah kiri dan terlanggar kereta yang sedang parkir di hadapan rumah,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Redzuan berkata, pemandu kereta Proton Saga itu tidak tercedera manakala isterinya yang mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk tujuan bedah siasat.

“Pemandu kereta itu mempunyai lesen memandu dan cukai jalan yang sah tempoh.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.