Isteri Syahmi Sazli kecewa, 33 tahun perintah Kelantan tapi isu air tak selesai – “Cakap lebih kata tak sayang agama”

Isteri Syahmi Sazli kecewa, 33 tahun perintah Kelantan tapi isu air tak selesai – “Cakap lebih kata tak sayang agama”

Keluhan rakyat Kelantan tentang masalah air bersih terus memuncak ketika negeri itu bakal berdepan pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Turut melahirkan kekecewaan ialah isteri kepada pempengaruh dan Youtuber terkenal, Syahmi Sazli iaitu Anissa Faizul.

Menerusi Facebook, Anissa berkata sudah lebih 30 tahun kerajaan negeri sedia ada memerintah Kelantan namun isu keperluan asas seperti bekalan air bersih masih tidak dapat diselesaikan.

“Lebih 30 tahun dah duduk jaga (menjadi pemerintah). Benda asas pun tidak boleh nak selesaikan.

“Dengan air la (kita) nak ambil wuduk untuk tunaikan solat di rumah. Mandi selepas pulang daripada kerja untuk pergi ke masjid dan solat berjemaah.

Hantaran asal dibuat Annisa di Facebook.

“Cakap lebih kata tak sayang agama. Benda asas nak menghadap Sang Pencipta pun tak selesai,” tulisnya pada Jumaat.

Anissa mengulas tentang hal itu menerusi komennya pada hantaran yang dibuat seorang pengguna Facebok dikenali sebagai Nur Idayu Supian.

Terdahulu Nur Idayu berkongsi tentang rutinnya yang terpaksa mengambil air daripada tandas masjid berdekatan untuk kegunaan membersihkan diri menerusi grup Facebook Pasir Mas.

Jelas Nur Idayu dia terpaksa mengangkut air sebanyak tiga kali setiap hari.

Difahamkan hal seperti itu berlaku di Kampung Banggol Stol, Pasir Mas, Kelantan sejak enam bulan lalu.

“Agak-agak bila masalah air dekat sini selesai? Dah enam bulan langsung tidak ada air, daripada pagi sampai malam.

“Setiap hari saya punggah air daripada masjid untuk buat kegunaan harian. Sekali waktu pagi, sekali waktu tengah hari dan sekali waktu petang. Saya pun dah tebal muka untuk tumpang mandi di tandas masjid.

“Sudahlah ada anak kecil. Makin parah guna air nak buat basuh berak tiga hingga empat kali sehari. Susahlah sampai jadi stres kadang-kadang. Hidup jadi tak nikmat sebab perlukan air sangat-sangat,” katanya di Facebook.

Idayu turut berkongsi foto tandas masjid di mana tempat dia mengangkut air untuk kegunaan harian.

Dalam pada itu, Idayu yang mengusahakan perniagaan bakeri dari rumah terpaksa mengurangkan tempahan kerana bekalan air bersih yang terhad.

“Saya terpaksa fikir dua tiga kali untuk terima tempahan kek sebab perlukan air bersih dalam kuantiti yang banyak untuk basuh peralatan memasak.

“Letih sangat! Saya bertambah tertekan dalam keadaan begini. Pendapatan keluarga saya juga terjejas. Larat ke saya nak angkut air 10 kali sehari. Suami saya pun ada kerja nak dilakukan juga,” tambahnya lagi.

Hantaran asal mengundang pelbagai reaksi netizen yang turut bersetuju dengan luahan dibuat wanita ini di Facebook.

Untuk rekod PAS mula memerintah Kelantan sejak memenangi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) pada tahun 1990.

Parti Islam itu berjaya mengekalkan pemerintahan di negeri itu sehingga kini.