Istimewa! Wanita ini ada 2 rahim, 2 pangkal rahim, 2 vagina dan 1 buah pinggang

Istimewa! Wanita ini ada 2 rahim, 2 pangkal rahim, 2 vagina dan 1 buah pinggang

 

Pada fizikal luaran, Nur Hasmidah Hamzah, 32, dilihat tiada bezanya dengan wanita lain. Tetapi suri rumah ini sebenarnya memiliki keunikannya tersendiri kerana mempunyai dua rahim, dua pangkal rahim, dua vagina dan satu buah pinggang.

Kisah ibu kepada seorang anak perempuan ini mula tular di TikTok setelah dia berkongsi mengenai keunikan ‘bicornuate bicollis uterus sejak tahun lalu.

Menurut Nur Hasmidah, dia hanya menyedari keunikannya itu semasa berusia 26 tahun dan mula berkongsi mengenainya di media sosial setelah mendapat keizinan daripada suami.

Pada mulanya, Nur Hasmidah mengalami senggugut dan datang bulan yang berterusan selama tiga bulan selepas melakukan aktiviti mendaki gunung.

“Ketika berusia 14 tahun, saya pernah tumpah darah di asrama sekolah tetapi tidak memaklumkannya kepada guru dan keluarga kerana tiada keyakinan selain takut dimarahi, serta takut berjumpa doktor,” katanya.

Bercerita lanjut, Nur Hasmidah berkata, dia datang bulan dua kali sebulan dan sebelum itu sudah mengetahui yang dia mempunyai dua rahim, namun ujian Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) enam tahun lalu mengesahkan dia memiliki dua pangkal rahim, dua vagina serta satu buah pinggang.

“Doktor memaklumkan, keadaan rahim saya unik. Nisbah satu dalam sejuta dan tiada ramai yang mempunyai dua rahim tetapi ada.

“Doktor terangkan mengenai keunikan dua rahim, bentuknya dan segala kemungkinan dimiliki kebanyakan pemilik dua rahim iaitu ada dua saluran peranakan dan dua vagina.

“Saya kemudian perlu menjalani MRI tetapi saya tak pergi dan hanya buat ujian itu selepas berkahwin dan bersalin anak perempuan sebelum diberitahu mengenai keunikan lain,” katanya.

Menurut doktor, wanita memiliki dua rahim tidak berbahaya tetapi sukar untuk hamil. Jika hamil, mereka berisiko tinggi untuk mengalami keguguran dan melahirkan bayi pra-matang disebabkan ruang rahim yang sempit akibat rahim abnormal.

Nur Hasmidah bersyukur apabila dia disahkan hamil tanpa sebarang masalah, selepas sebulan mendirikan rumah tangga pada usia 29 tahun.

“Saya juga bersyukur kerana suami menerima saya dan selalu memberi sokongan dan semangat. Keluarga juga turut memberi sokongan kepada saya,” katanya.