Isu Adib, blogger ini kongsikan perkara yang disembunyikan selama ini

Isu Adib, blogger ini kongsikan perkara yang disembunyikan selama ini

ISMAIL SABRI LEBIH WAJIB JANGAN BUAT2 LUPA KES KEMATIAN ADIB

Secara tiba-tiba kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dalam tragedi rusuhan kuil di Subang yang masih belum terungkai muncul kembali menjadi perbualan dalam sehari dua ini.

Ia susulan kenyataan Zuraida Kamaruddin, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komodoti yang mengatakan kes tersebut ditutup buat sementara waktu dan hanya akan dibuka semula sekiranya ada bukti baru diperolehi.

Sehubungan itu, tambah Zuraida, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

“Kes mungkin akan dibuka semula sekiranya ada keterangan, maklumat dan bukti baru yang boleh digunakan,” ujar beliau lagi.

Pelbagai pihak, termasuk Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi nyata tidak setuju dengan kenyataan Zuraida itu.

Rata-rata mahukan kes Muhammad Adib diselesaikan melalui usaha mencari siapa yang terlibat dalam kematiannya, seterusnya membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

Tiada pilihan lain dalam penyelesaian kes Muhammad Adib ini, jauh sekali untuk menutupnya begitu saja, walau disusuli dengan pelbagai bantuan kepada keluarganya.

Sebenarnya munculnya semula kes itu pada waktu ini, di waktu Ismail Sabri memegang jawatan Perdana Menteri adalah sesuatu yang sangat sesuai untuk mencari kebenaran dan menguji kedudukan beliau bersama kuasa yang ada padanya.

Ini kerana sewaktu beliau menjadi Ketua Pembangkang dulu, kes Muhammad Adib inilah antara yang kuat diratibnya untuk menunjukkan kononnya beliau pembela kematian bekas anggota bomba itu, selain bertujuan untuk memperlekeh kewibawaan kerajaan PH.

Bagi tujuan itu, mari kita singkap balik tulisan di laman FB Ismail Sabri bertarikh 14 Disember 2019 dahulu :-

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

APA PERKEMBANGAN KES ADIB? JANGAN BUAT-BUAT LUPA

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob

Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia

Naib Presiden UMNO Malaysia

14 Disember 2019

Telah lebih tiga bulan sejak Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Namun apakah susulan daripada keputusan tersebut? Sehingga kini Peguam Negara masih gagal memulakan pendakwaan terhadap suspek malah lebih menjadi tanda soal di manakah keberadaan suspek yang menyebabkan kematian Adib? Mereka dibebaskan atas jaminan pihak polis tetapi di manakah mereka?

Adakah kes ini akhirnya nanti akan terus sunyi dan akhirnya tiada pembelaan? Pihak Peguam Negara juga harus membuat kenyataan kenapa sehingga kini tiada sebarang arahan untuk kes ini dibicarakan?

Justeru, saya mendesak agar kes ini disegerakan agar rakyat tidak terus menganggap ada ‘tangan-tangan ghaib’ yang mengawal undang-undang negara.

Kes Arwah Adib juga perlu disegerakan bagi membuktikan kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan benar-benar mengamalkan ketelusan dan tidak mengamalkan ‘rule of jungle’.

#bubarparlimen

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dahulu ketika menjadi Ketua Pembangkang, beliau menuntut agar kerajaan bertindak membela kematian Muhammad Adib serta jangan buat-buat lupa mengenainya.

Sekarang beliau adalah Perdana Menteri, semua kuasa dalam tangannya dan Peguam Negara juga dalam kawalannya, maka kita wajib menuntut apa tindakan yang mampu dilakukannya?

Jangan pula buat-buat lupa bila dalam tangan sudah ada kuasa?

Kalau setakat gah bercakap ketika tiada kuasa, tetapi senyap seribu bahasa setelah ada kuasa untuk membela kematian Muhammad Adib ini, baiklah berhenti saja jadi Perdana Menteri.

Kalau kes ini pun tak boleh diselesaikan, usah mimpilah perjuangan lain akan diutamakan. – (ShahbudinHusin 01/10/2021)

Sumber – FB