Isu anugerah projek RM2 bilion, akhirnya Zafrul berjaya ‘game’ Tuan Ibrahim

Isu anugerah projek RM2 bilion, akhirnya Zafrul berjaya ‘game’ Tuan Ibrahim

TENGKU ZAFRUL SAHKAN PENDEDAHAN SAYA BENAR, TUAN IBRAHIM HANYA BERKATA TIDAK TAHU

Ekoran sidang media saya pada hari Jumaat, 11 November 2022 yang menunjukkan surat di antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Alam Sekitar dan Air mengenai persetujuan Kerajaan Persekutuan menganugerahkan Projek Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2 kepada Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz telah mengesahkan perkara itu.

Satu-satunya jawapan Tengku Zafrul mengenai perkara itu ialah keputusan melantik Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus yang diluluskan sehari sebelum Parlimen dibubarkan telah mengikut prosedur dan proses perolehan kerajaan.

Saya ingin mengingatkan Tengku Zafrul dan Tuan Ibrahim Tuan Man supaya tidak berselindung di sebalik ulasan pentadbiran (administrative response) bahawa semua keputusan telah dibuat mengikut prosedur dan proses perolehan kerana reaksi kerajaan (apabila skandal-skandal besar seperti 1MDB, NFC dan pelaburan Felda dibongkar sebelum ini) pun sama.

Hanya apabila lebih banyak maklumat mengenai latar belakang sesuatu kes didedahkan, barulah pimpinan politik di dalam kerajaan mula bercakap dengan nada yang berlainan.

Prosedur dan proses perolehan yang ditetapkan Perbendaharaan bertujuan untuk memastikan pembida yang terbaik mendapat tender pada nilai yang terbaik kepada kerajaan.

Dalam kes Projek Tebatan Banjir Sungai Langat 2, tanpa melalui perincian proses perolehan pun ada beberapa isu yang menimbulkan kontroversi, contohnya:

• Bagaimana proses dan prosedur kewangan Perbendaharaan boleh mempertimbangkan sebuah syarikat yang kini berdepan dengan dua petisyen muflis di mahkamah (setelah disaman kerana dituduh tidak membayar hutang oleh sub-kontraktor) untuk dilantik menjadi kontraktor projek utama negara pada harga RM2 bilion?

• Bagaimana sebuah syarikat yang telah pun mendapat lebih dari RM2 bilion dari projek-projek di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) boleh dipertimbangkan lagi untuk projek sebesar ini sedangkan ada projek sedia ada yang dikendalikan Mangkubumi dikenal pasti bermasalah?

• Bagaimana proses dan prosedur kewangan Perbendaharaan tidak mengambil kira rekod Mangkubumi Sdn Bhd dan syarikat-syarikat berkaitan yang terpalit dengan kes penggubahan wang haram kerana memindahkan wang RM139 juta kepada tokoh politik seperti Azeez Rahim?

• Bagaimana tender projek tebatan banjir ini dibenarkan dirundingkan secara terus, sedangkan kriteria utama untuk mendapat pengecualian tender terbuka adalah untuk perolehan yang memerlukan kepakaran dan teknologi khusus yang tidak ada pada pembida lain. Adakah hanya ada satu syarikat iaitu Mangkubumi Sdn Bhd yang boleh membida projek-projek tebatan banjir sedangkan ini adalah projek infrastruktur awam yang melibatkan kejuruteraan awam yang biasa, bukannya kerja berteknologi tinggi yang menggunakan teknologi terhad (propreitary technology)

Pada masa yang sama, Tuan Ibrahim Tuan Man pula tidak boleh mencuci tangan seolah-olah beliau tidak tahu menahu mengenai kes ini.

Secara lazimnya, kementerian yang menetapkan bentuk perolehan yang akan digunakan. Apabila perolehan itu berbentuk tender terhad atau rundingan terus (dan bukannya tender terbuka), kementerian terbabit perlu mendapat kelulusan dari Kementerian Kewangan untuk menjalankan perolehan yang bukan tender terbuka.

Perbincangan, proses dan prosedur melibatkan tender sebesar RM2 bilion ini bukanlah bermula sehari sebelum Parlimen dibubarkan. Ia sudah tentu dimulakan dari Kementerian Alam Sekitar dan Air sendiri yang perlu melalui kelulusan Perbendaharaan.

Oleh itu, Tuan Ibrahim Tuan Man perlu menjelaskan kepada rakyat secara terbuka dan terperinci mengenai latar belakang projek ini, contohnya:

• Adakah kementeriannya sendiri yang memohon kepada Kementerian Kewangan untuk menjalankan projek ini secara rundingan terus dengan Mangkubumi Sdn Bhd?

• Adakah kementeriannya mahu menjalankan projek ini secara tender terbuka tetapi ditolak oleh Kementerian Kewangan dan diarahkan untuk runding terus dengan Mangkubumi Sdn Bhd?

• Jika kementeriannya memang mencadangkan supaya projek ini dijalankan secara rundingan terus, apakah alasan-alasan yang telah digunakan untuk menutup ruang syarikat-syarikat lain turut serta dalam projek ini?

Saya tahu Tuan Ibrahim Tuan Man marah dan hanya boleh menyerang saya kononnya kes ini adalah fitnah kerana ia melibatkan prestasi beliau sebagai seorang menteri.

Kalau pun beliau tidak terlibat dengan mereka di belakang Mangkubumi Sdn Bhd, beliau telah gagal mentadbir dengan baik sehingga projek-projek sebesar ini diluluskan secara rundingan terus tanpa pengetahuan beliau.

Di mana kawalan dan kepimpinan seorang menteri jika beliau terlepas pandang setiap keputusan penting dalam proses perolehan projek ini?

Sebab itu, cara yang lebih baik ialah untuk beliau menjawab persoalan-persoalan yang saya timbulkan terutamanya mengenai latar belakang projek ini.

Beliau perlu menerangkan kepada orang ramai sama ada kementerian beliau yang mencadangkan projek ini dibuat secara rundingan terus dan permohonan itu diluluskan Kementerian Kewangan, atau kementerian beliau mahu projek ini dijalankan secara tender terbuka tetapi diarahkan oleh Kementerian Kewangan untuk melantik Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus?

Jika memang kementerian beliau mahu menjalankan projek ini dengan melantik Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus, beliau nampak tidak peka soal penyelewengan dan tata kelola perolehan.

Jika kementerian beliau diarahkan untuk melantik Mangkubumi Sdn Bhd tetapi itu bertentangan dengan keputusan asal KASA, di mana suara dan keberanian Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan wang rakyat?

Jika beliau tidak tahu apa-apa dan perkara ini diuruskan di belakang beliau, nampak sangat beliau telah gagal mentadbir, bukanlah seorang yang hands on sehingga perkara ini boleh berlaku di belakang beliau.

Sebagai calon menteri kanan dari PAS dan Perikatan Nasional, lebih baik beliau menjawab perkara-perkara ini dan bukannya berharapkan cyber trooper PAS membuat video TikTok dan visual untuk menuduh saya memfitnah beliau semata-mata.

RAFIZI RAMLI