Isu hadkan lesen memandu warga emas, bekas menteri mahu polis lebih bertanggungjawab

Isu hadkan lesen memandu warga emas, bekas menteri mahu polis lebih bertanggungjawab

With due respect kepada PDRM, isu berkenaan dasar dan syarat baru untuk lesen pemandu sebenarnya bukan di bawah bidang kuasa PDRM. Pihak PDRM khususnya polis trafik hanya bertanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Namun, lesen memandu kepada setiap pemandu dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengikut peruntukan-peruntukan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987.

JPJ merupakan jabatan kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pengangkutan Malaysia. Apa-apa perubahan dasar dan syarat untuk lesen pemandu mesti diputuskan terlebih dahulu oleh Kementerian Pengangkutan dan bukannya agensi lain dalam kerajaan.

Di bawah Kementerian Pengangkutan, terdapat sebuah agensi khusus untuk membuat kajian terhadap semua dasar dan isu teknikal mengenai isu keselamatan jalan raya iaitu MIROS (Malaysian Institute of Road Safety Research).

Isu mengenai syarat tambahan kepada pemandu warga emas pernah dibincangkan semasa saya mengetuai Kementerian Pengangkutan. Namun, pada ketika itu saya berpendapat cadangan tersebut memerlukan kajian yang terperinci kerana ia mungkin disalah erti sebagai satu bentuk diskriminasi kepada pemandu warga emas.

Kalau mengikut statistik kemalangan jalan raya, lebih ramai pemandu muda terlibat dalam kemalangan jalan raya daripada pemandu yang berumur.

Saya berharap pihak MIROS akan membuat kajian terperinci dalam perkara ini sebelum sebarang perubahan dasar dilaksanakan.