Isu hapuskan subsidi haji, menteri jangan menunggang agama – Pemuda IKATAN

Isu hapuskan subsidi haji, menteri jangan menunggang agama – Pemuda IKATAN

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, menjelaskan bahawa kerajaan akan mengurangkan subsidi Lembaga Tabung Haji (TH) ke atas jemaah haji dengan menggunakan konsep “Istito’ah”.

Konsep berkenaan diperkenalkan bagi mengurangkan bantuan TH. Istito’ah bermaksud seseorang hanya boleh pergi haji dalam keadaan yang mampu.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia mengecam kenyataan YB Menteri yang seakan-akan menggunakan istilah arab dan bermain dengan kata-kata untuk menghalalkan subsidi dikurangkan. Kos sebenar haji ialah RM22,900.

Selama ini, rakyat hanya membayar RM9,980 untuk membolehkan mereka mengerjakan ibadah rukun Islam kelima itu. Persoalannya, jika dahulu kerajaan Barisan Nasional menjaga kebajikan rakyat, terutama umat Islam, kenapa hari ini kerajaan Pakatan Harapan terus membebankan rakyat?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa kerajaan memperhalusi balik keputusan ini kerana keputusan sebegini menekan rakyat. Bagaimanakah pakcik dan makcik di kampung hendak mengumpul RM22,900 di waktu keadaan ekonomi Malaysia sendiri makin tenat dengan kos sara hidup makin melambung tinggi.

Pakcik dan makcik di kampung juga tertekan dengan penurunan harga getah dan kelapa sawit yang mencari punca mata pencarian mereka. Jika pakcik dan makcik berjimat dan menyimpan sebanyak RM100 sebulan, mereka memerlukan masa menyimpan selama 229 bulan atau 19 tahun!

Seharusnya subsidi terus diberikan kepada rakyat Malaysia untuk pergi mengerjakan haji pertama. Itulah yang dinamakan kerajaan berkebajikan. Banyak aset TH yang sudah diletakkan di bawah SPV.

Ke manakah perginya apa jua pulangan dan keuntungan daripada dasar penstrukturan semula aset-aset TH ini hingga kerajaan masih mahu memeras segalanya daripada rakyat?

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia sekali lagi menggesa YB Menteri memperhalusi kembali keputusan memotong subsidi haji demi menjaga kebajikan rakyat, dalam kes ini rakyat yang beragama Islam.

Demi Bangsa Malaysia

SHAHIR ADNAN
Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia
21 Mac 2019

Sumber – Harakahdaily