Isu jam tangan mewah, Idris dipuji berjiwa besar maafkan Siti Kasim

Isu jam tangan mewah, Idris dipuji berjiwa besar maafkan Siti Kasim

Dua tiga hari ini tular di media sosial ciapan personaliti kontroversi bernama Siti Kasim mengenai jam tangan mewah kononnya dipakai menteri agama baru, Senator Ustaz Idris Ahmad.

Dalam ciapannya, Siti membangkitkan persoalan perubahan watak seorang yang berlatar belakangkan pendidikan agama dan perjuangan Islam seperti Ustaz Idris selepas menjadi menteri dengan menuduhnya memakai jam tangan mewah berjenama Rolex.

Namun menyedari penampilan dirinya yang seringkali menjadi bahan hinaan kelompok agamawan sebelum ini, Siti sama sekali tidak menyangka ciapannya itu mendapat perhatian menteri tersebut.

Lantas dalam respon pantas, Ustaz Idris menafikan dirinya mulai mengubah gaya hidup selepas terpilih menjadi menteri kabinet kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ Ismail Sabri.

Jelas Ustaz Idris, jam yang disangkakan mewah berjenama Rolex itu hanyalah seutas jam tangan murah berjenama Buruj, jam yang dianggapnya mampu dimiliki oleh semua orang termasuk kalangan B40.

Menyambung jawapannya, Ustaz Idris memaklumkan keistimewaan jam tersebut ialah mempunyai ciri-ciri menentukan kedudukan arah kiblat, yang sudah pasti memudahkannya dalam melaksanakan tuntutan ibadah solat di tempat yang tiada petunjuk arah kiblat.

Menyedari kesilapannya, Siti mengambil sikap membetulkan keadaan dengan meminta maaf terhadap menteri tersebut. Namun apa yang mengejutkan berlaku, menteri agama dengan gaya berlapang dada memaafkan Siti meskipun beliau antara yang keras mengkritik gaya songsang Siti mempertahankan kumpulan atau individu yang merosakkan imej Islam sebelum ini.

Malah, Idris sempat mendoakan Siti diberikan kesihatan yang baik dan dijauhkan daripada jangkitan Covid-19. Meninjau ruangan komen di Twitter Idris, rata-rata pengikutnya memuji jiwa besar menteri agama menangani isu fitnah tersebut dengan sangat baik.