Isu kalimah ALLAH : Masa pembangkang Hadi suruh larang, dah jadi duta timur tepi Hadi tak bagi larang pulak
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan sesiapa pun tidak harus dilarang daripada menggunakan perkataan Allah.
Menurut Abdul Hadi, sama ada seseorang itu Muslim, penganut agama lain atau mereka yang tidak percaya kepada tuhan tidak boleh dilarang menyebutkan perkataan Allah dalam bentuk ucapan atau tulisan.
Beliau juga menjelaskan orang yang berpelajaran tinggi, orang yang paling bodoh, buta huruf, bahkan orang yang paling gila dan tidak siuman serta tidak mempunyai akal langsung tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan Allah.
“Jangan sekali-kali melarang mereka daripada menyebutkan perkataan Allah,” katanya.
Menulis di Facebooknya, Abdul Hadi menjelaskan memang terdapat agama lain selain Islam yang menggunakan perkataan Allah seperti contohnya masyarakat Arab yang bukan Islam.
Namun, katanya, penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama yang percaya kepada Tuhan selain Allah tidak menepati maksud sebenar kalimah berkenaan.
Menurut Abdul Hadi maksud Allah dalam bahasa Arab bukan semata-mata Tuhan, tetapi mempunyai lebih luas yang tidak dapat diterjemah secara tepat ke dalam bahasa lain.
“Jika penganut setiap agama menyebutkan perkataan Allah mengikut kepercayaan masing-masing akan adanya Allah (Tuhan), itu adalah hak kebebasan beragama,” katanya lagi.
Namun jelas beliau, perlu juga dilihat pada tujuan penggunaannya, bukan sekadar lafaz dan ungkapan semata-mata.
Tegas Abdul Hadi, sekiranya kalimah Allah itu mahu digunakan bertujuan untuk mengelirukan atau menghina penganut Islam, maka harus ada sempadan dan hukumnya.
Begitupun, kata Abdul Hadi, Islam melarang penganutnya menyentuh sensitiviti penganut agama lain yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat majmuk, selain membawa konsep kebebasan beragama mengikut sempadan tertentu.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” kepada orang bukan Islam pada 1986.
Justeru mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan. – AA