Isu konsert terbuka : Pemuda Pas tidak lagi bantah, sekadar luah kebimbangan
Pemuda PAS Kelantan menyuarakan kebimbangan terhadap Konsert Riuh Sokmo yang berlangsung sejak dua hari lalu kerana disifatkan bertentangan dengan dasar “Membangun Bersama Islam” yang dibawa kerajaan negeri.
Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Pemuda PAS Kelantan, Mohamad Kamal Mohamed, berkata pihaknya menerima pelbagai pandangan yang berasaskan kebimbangan suburnya budaya konsert di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
“Pelbagai versi sudut pandang diberikan dan yang dapat saya simpulkan adalah mereka yang bersuara adalah kebanyakkan mempunyai asas kebimbangan yang sama iaitu suburnya budaya konsert di Kelantan.
“Pemuda PAS Kelantan merasakan kebimbangan yang sama sementelah negeri ini telah mempunyai identiti adat dan budaya tersendiri dengan dasar merakyat Membangun Bersama Islam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad Kamal berkata, anak-anak muda di Kelantan pastinya menjadi sasaran utama kepada siri-siri konsert serta hiburan yang diadakan di negeri itu.
Oleh itu, katanya, penganjuran konsert seumpama itu amat membimbangkan semua pihak termasuk dalam kalangan ibu-bapa,.
Justeru pihaknya mengingatkan kerajaan Kelantan supaya bertindak tegas ke atas penganjur jika konsert berkenaan melanggar enakmen hiburan negeri.
“Enakmen hiburan negeri Kelantan secara ringkas masih tidak membenarkan persembahan wanita berumur 15 tahun ke atas di pentas umum (persembahan wanita hanya untuk audien wanita) dan segregasi peserta dengan tiga tempat duduk iaitu lelaki, perempuan dan keluarga.
“Sayugia jika pelanggaran kepada enakmen hiburan dilakukan, saya juga ingin bertegas mewakili suara anak muda agar pihak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur.
“Pelanggaran walau kecil umpama barah yang akan merosakkan anak bangsa,” katanya.
Untuk rekod Konsert Riuh Sokmo! Bersama Celcom menampilkan persembahan daripada artis terkenal tanah air seperti Wings, Ramli Sarip, Kugiran Masdo, Faizal Tahir dan ramai lagi.
Konsert berkenaan dianjurkan dengan kerjasama penyedia telekomunikasi Celcom Axiata Berhad (Celcom) di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh dan Padang Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, mulai 16 Sept hingga 18 Sept.
Dilaporkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi Kumpulan MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) menyasarkan lebih 20,000 pengunjung ke Kembara Riuh Keluarga Malaysia (KRKM) edisi keempat itu.