Isu kuota VIP, Ahmad Awang tanya di mana menteri agama menyorok?
Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah), Ahmad Awang berkata pihak Masjid Putra di Putrajaya tidak wajar dipersalahkan berhubung isu peruntukan kuota untuk kalangan VIP bagi solat Jumaat.
Sebaliknya, Ahmad Awang berkata, pihak yang sepatutnya dipersoalkan dalam isu terbabit adalah mereka yang bertanggungjawab dalam menyediakan dasar mengenai kapasiti jemaah di masjid.
“Kita tak boleh salahkan imam kerana dia menjalankan kerja dengan betul berdasarkan peruntukan yang ditetapkan dan kalau kita nak salahkan pihak pentadbiran masjid itu juga, tidak kena.
“Tetapi, kalau nak soal kenapa masjid ini ada kasta-kasta pula, ini kena persoalkan pihak majlis agama atau menterinya,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Dalam soal kuota tersebut, Ahmad Awang mempersoalkan kenapa perlu ada had kapasiti bagi jemaah sedangkan hari ini premis seperti pusat membeli belah dibenarkan dibuka tanpa had kapasiti tertentu.
“Soalnya sekarang ini, kenapa hanya 300 orang (dibenarkan masuk masjid) sedangkan keadaan di tempat-tempat awam, seperti panggung wayang, pusat beli belah dan sebagainya tidak dihadkan kemasukan kepada sekian-sekian orang sahaja dalam sehari?” soalnya.
Ahmad berkata demikian mengulas rasa tidak puas hati orang ramai terhadap isu yang tular baru-baru ini membabitkan VIP dan orang awam yang mahu menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di Putrajaya, minggu lalu.
Berdasarkan kepada penjelasan Imam Besar Masjid Putra, Ikmal Zaidi Hashim, pihaknya memperuntukkan kuota khusus untuk VIP termasuk pegawai kerajaan berpangkat pengarah dan ke atas – sebanyak 10 peratus – setiap kali sembahyang Jumaat.
Rasa tidak puas hati itu bukan sekadar melibatkan jumlah jemaah yang dibenarkan hadir tetapi turut melibatkan masa seseorang itu tiba di masjid.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata dalam keadaan hari ini yang mana negara mula mencapai imuniti kelompok, pihak pengurusan masjid seharusnya membenarkan lebih ramai jemaah asalkan mereka yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Masjid adalah tempat ibadah dan sudah bertahun orang ramai tidak solat Jumaat, sepatutnya bukan 300 orang (dibenarkan solat). Katalah, masjid itu kapasitinya 5,000 orang dan dari jumlah itu jika dibuat penjarakan fizikal sekali pun boleh menempatkan lebih 1,000 orang. Jadi, daripada 300 orang itu banyak lagi ruang kita boleh berikan.
“Dan kalau itulah perkiraannya, tidak perlu lagilah diberikan kuota kepada pegawai kerajaan semua, kerana (masjid) dah muat.
“Pada saya, pihak pengurusan dan pentadbiran, menteri, timbalan menteri atau mufti perlu ambil perhatian dalam perkara ini. Ini bila orang buat aduan baru dia kata akan siasat,” katanya.
Mengambil contoh di Perak, Ahmad berkata pihak pengurusan masjid di negeri itu tidak menghadkan jumlah kehadiran jemaah sebaliknya mengenakan SOP yang ketat kepada mereka.
“Di Perak, pihak pengurusan masjid membenarkan kapasiti seluas masjid asalkan penjarakan fizikal dipelihara dan memakai pelitup muka, maka orang ramai pun tak adalah kelam kabut sangat nak berebut masuk masjid,” katanya.
Justeru, kata Ahmad kerajaan perlu meneliti semula polisi yang dibuat bagi memudahkan orang ramai dan bukannya merumitkan lagi masalah sedia ada.
“Dalam keadaan sekarang ini, dah banyak orang boleh sembahyang di mana-mana dan kamu boleh benarkan panggung wayang, tempat judi, kedai nombor ekor dibuka semua, tiba-tiba masjid kamu hadkan pula.
“Pembuat polisi kena fikir, jangan timbulkan masalah terlalu (rumit) menyebabkan orang awam susah.
“Jadi, pembuat polisi khususnya menteri dan ahli lembaga yang berkenaan, mereka kena prihatin dengan masalah yang dihadapi orang ramai, orang Islam dan para jemaah yang telah bertahun tidak dapat solat Jumaat dan solat lima waktu,” tambahnya.
Lebih baik beri kuota kepada OKU
Senada dengan Ahmad, Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA), PKR, Amidi Abdul Manan.
Menurut Amidi, sudah tiba masanya SOP berkaitan solat berjemaah di masjid dan surau diteliti bagi mengelak fitnah berterusan.
“Dalam Islam ini salah satu perkara yang kita kena jaga adalah menjauhi fitnah.
“Tak kisahlah, letak kuota ke, kena tempah ke, asalkan ia tidak menimbulkan fitnah. Bila timbulnya fitnah ini, maka hilanglah keberkatan dalam ibadah.
“Jadi saya ingat perkara ini perlu diperhalusi. Jangan semata-mata kita nak letak keistimewaan atau pun kemudahan kepada golongan tertentu sampai timbulkan fitnah dan ini akan timbulkan gambaran buruk kepada pentadbiran masjid dan khusus yang berkaitan solat,” katanya kepada Malaysiakini.
Kata Amidi dalam soal kuota yang disediakan kepada jemaah yang hadir ke masjid adalah lebih baik ia dikhususkan kepada golongan kurang upaya (OKU).
“Dari segi kuota VVIP ini saya memang tak bersetuju, yang seharusnya ada kuota ini diberikan kepada mereka yang ada keperluan khas atau yang melibatkan OKU, maka ada kewajarannya dan melainkan VVIP itu OKU jugalah.
“Jadi untuk kouta ini kita kena tengok balik dan adalah lebih baik kuota ini dikhaskan kepada golongan yang lebih memerlukan,” katanya.
Sumber – Malaysiakini