Isu kuota VIP masjid, pakar hadith terkenal bidas sikap lembab menteri agama
Secara peribadi saya tidak pernah menyokong sistem yang memberi kelebihan kepada golongan VIP di dalam RUMAH ALLAH (di luar lain ceritalah), baik peruntukan kuota atau tempahan tempat atau apapun, kerana masjid yang didirikan kerana Allah ﷻ adalah hak kaum muslimin bersama sekalipun pengurusannya di bawah kerajaan negeri.
لَوْ يَعْلَمُ النَّاسُ مَا فِي النِّدَاءِ وَالصَّفِّ الْأَوَّلِ ثُمَّ لَمْ يَجِدُوا إِلَّا أَنْ يَسْتَهِمُوا عَلَيْهِ لَاسْتَهَمُوا
“Sekiranya manusia mengetahui apa yang ada (iaitu kelebihan dan keutamaan) di dalam azan dan saf yang pertama, lalu mereka tidak dapat mendapatkannya kecuali dengan melakukan undian, nescaya mereka akan melakukan undian untuk mendapatkannya” [hadis riwayat al-Bukhari].
Kita faham pihak pengurusan masjid terikat dengan arahan tugas, namun di peringkat atasan yang mengeluarkan arahan, ‘privilege’ seperti ini tidak sepatutnya wujud.
Alasan seperti orang atasan kerajaan sibuk mesyuarat lewat sana sini tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mendapatkan hak istimewa ini. Jangan jadikan urusan dunia sebagai alasan untuk berlengah pergi ke masjid menunaikan solat, sedangkan Allah ﷻ telah memberikan peringatan:
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا نُودِىَ لِلصَّلَوٰةِ مِن يَوۡمِ ٱلۡجُمُعَةِ فَٱسۡعَوۡاْ إِلَىٰ ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَذَرُواْ ٱلۡبَيۡعَۚ ذَٲلِكُمۡ خَيۡرٌ۬ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ * فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَٱبۡتَغُواْ مِن فَضۡلِ ٱللَّهِ وَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ
“Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak, supaya kamu berjaya” [al-Jumu’ah: 9-10].
Sekalipun kita rindukan rumah Allah, tapi kita faham bahaya Covid-19 dan pandemik ini masih belum selesai. Kita tidak pinta lebih, tapi biarlah SOP masjid diperluaskan seiring dengan aktiviti di luar.
Dikala kapasiti wayang sudah dibuka 50%, pelbagai tempat di luar sudah semakin rancak dengan kapasiti masing-masing, biarlah masjid juga seiring dibuka dan digerakkan aktivitinya mengikut kapasiti yang selayaknya.
Hentikan persepsi dan prejudis bahawa masjid merupakan tempat ‘paling bahaya’ sehingga sering dilihat paling awal ditutup dan paling akhir dilonggar.
Kita faham pihak mufti sudah menyampaikan suara. Sebagai rakyat, mereka sudah ada jawapannya di hadapan Allah ﷻ kelak dengan melepaskan kewajipan mereka di pundak ulil amri. Namun adakah para penguasa dan badan agama negeri yang membuat keputusan bersedia merisikokan diri apabila dipersoal tentang setiap individu muslim mukallaf yang tidak dapat menunaikan fardu Jumaat minggu di akhirat kelak?
Setiap kelewatan dalam memberikan keputusan akan menambah beban kita di hadapan Allah kelak.
اللهم بلّغت
-Dr. Kamilin Jamilin-