Isu laman web RM70juta : Pembangkang desak buka parlimen, percaya penipuan menteri akan dilondeh

Isu laman web RM70juta : Pembangkang desak buka parlimen, percaya penipuan menteri akan dilondeh

Khairy Jamaluddin berkata RM70 juta diperuntukkan bagi integrasi data dan sistem janji temu bukan untuk laman web pendaftaran tempahan vaksin Covid-19, AstraZeneca sahaja, selepas laman itu menjadi sasaran kritikan orang ramai ekoran masalah teknikal yang menyaksikan banyak orang gagal mendaftar.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu menjelaskan angka RM70 juta itu sebenarnya had maksimum yang dibenarkan (siling) kerajaan untuk membangunkan banyak perkara.

“RM70 juta itu bukan hanya untuk laman web sahaja tetapi meliputi semua yang telah saya senaraikan dalam kenyataan rasmi saya sebelum ini, dan itu pun adalah ‘siling’ dan tidak semestinya adalah peruntukan sebenar yang akan dibelanjakan oleh kerajaan,” katanya.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Khairy menyenaraikan sekurang-kurangnya 13 perkara yang akan dibangunkan dengan RM70 juta itu, antaranya pengurusan dan pemantauan pencapaian program imunisasi, dan pembangunan “dashboard” pelaporan harian program itu.

Selain itu, ia juga untuk integrasi sistem bagi menghubungkan pangkalan data MySejahtera dengan sistem farmasi Kementerian Kesihatan, dan integrasi sistem pasport digital dalam Mysejahtera.

Ia juga digunakan untuk:

  • Pembangunan laman pendaftaran vaksin dan sistem ejen perbualan (chatbot)
  • Sistem pengesanan pendaftaran dan vaksinasi, serta pembangunan sistem pengesan dalam MySejahtera
  • Pembangunan sistem pengawasan genom dan pengawasan imunisasi
  • Perolehan sistem pengurusan giliran bergerak untuk Pusat Pemberian Vaksin
  • Sistem pengurusan logistik dan rangkaian penghantaran vaksin
  • Pengendalian pusat panggilan berpusat Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19
  • Sistem menguruskan mobilisasi sukarelawan sokongan
  • Penghantaran SMS dan panggilan telefon bagi peringatan vaksinasi

Dalam pada itu, Khairy menafikan dakwaan bahawa golongan Muslim serta bukan Muslim diasingkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Desa Tasik, malah menyelar tindakan tidak bertanggungjawab itu.

Beliau menjelaskan, tidak wujud pengasingan berdasarkan agama dan kaum melibatkan program vaksinasi.

“Tiada sebarang pengasingan telah dibuat mengikut agama atau bangsa sebaliknya penerima vaksin hanya diasingkan berdasarkan jenis vaksin mengikut ruang suntikan bagi memastikan tiada kesilapan dalam pemberian jenis vaksin,” katanya.

Beliau berkata, pada 24 Mei lalu seramai 943 individu diberi suntikan vaksin iaitu 252 dos vaksin Pfizer dan 691 Sinovac di PPV berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 169 orang Islam dan 83 bukan Islam merupakan penerima vaksin Pfizer, manakala 142 orang Islam dan 546 orang bukan Islam merupakan penerima vaksin Sinovac,” katanya. – FMT