Isu lawak rogol : Guru terlibat ditukar ke JPN, pengetua dakwa akaun fb digodam

Isu lawak rogol : Guru terlibat ditukar ke JPN, pengetua dakwa akaun fb digodam

Guru yang didakwa membuat lawak berkenaan rogol yang diperkatakan dalam video seorang pelajar sekolah yang tular baru-baru ini dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Selangor sehingga siasatan polis selesai.

Kementerian dalam kenyataan berkata tindakan lanjut bergantung kepada hasil siasatan.

“KPM mengambil maklum laporan polis oleh murid terbabit mengenai perkara ini telah dibuat pada 24 April. Memandangkan insiden tersebut dalam siasatan polis, KPM tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang tempoh siasatan,” katanya.

“Memandangkan insiden tersebut dalam siasatan polis, KPM tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan sepanjang tempoh siasatan,” katanya.

Ain Husniza Saiful Nizam, pelajar Tingkatan 5 menjadi tumpuan di media sosial baru-baru ini selepas memuat naik video di TikTok, dengan memetik guru sekolahnya di Selangor berkata: “jika kamu (pelajar) mahu merogol, jangan rogol seseorang bawah 18 tahun. Rogol orang melebihi 18 tahun.”

Sehari selepas itu, beliau mendakwa menerima ugutan rogol daripada seorang pelajar lelaki sekolahnya.

Dalam pada itu, KPM sedang meneliti secara terperinci perkara yang tular mengenai komen yang dikatakan dibuat pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam (SMKPA) terhadap murid tersebut melalui Facebook.

KPM turut mengesahkan satu laporan polis telah dibuat oleh pengetua berkenaan di Balai Polis Kuala Selangor yang menafikan beliau telah memuat naik komen berkenaan dan mengesyaki akaun Facebook miliknya telah digodam.

Sementara itu, KPM juga menjelaskan surat amaran kepada Ain dibuat selepas pelajar itu tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut atau 10 hari tidak berturut-turut tanpa mengemukakan sebab secara bertulis kepada pihak sekolah dan guru.

Katanya, surat amaran itu juga bagi memantau kemungkinan berlaku keciciran dalam kalangan murid dan mengambil tindakan intervensi sewajarnya.

“Bagi tempoh 16 hingga 30 April 2021, sekolah berkenaan telah mengeluarkan sebanyak enam Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama kepada ibu bapa/penjaga yang anak/anak jagaan tidak hadir ke sekolah tanpa sebab.

“KPM ingin menekankan bahawa kementerian sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kebajikan murid serta seluruh warga sekolah. KPM sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik,” katanya. – FMT