Isu masjid bertukar jadi tokong di Pulau Pinang, Ustaz Zainul Asri mohon maaf
Penceramah bebas Ustaz Zainul Asri Mohd Romli memohon maaf berhubung kenyataan menerusi video kuliahnya di aplikasi TikTok berhubung status sebuah masjid baru-baru ini.
Zainul Asri berkata, kenyataan itu dibuat ketika kuliahnya di Surau Al-Huda, Alor Setar pada 14 Februari lalu.
“Saya menyedari kenyataan itu menimbulkan kegusaran dan ketidaktenteraman dalam masyarakat. Sebenarnya kenyataan itu adalah didengari daripada orang tempatan.
“Saya kira ia tidak berkaitan dengan situasi semasa, mungkin ia (sebuah) sejarah lama namun tidak ada bukti dapat kita tampilkan bagi dijadikan bukti atau dokumen.
“Jadi saya memohon maaf kepada barisan Majlis Agama Islam di Pulau Pinang, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan semua anggota masyarakat yang terjejas yang dibuat,” katanya menerusi video di Aplikasi TikTok hari ini.
Terdahulu, Zainul Asri menerusi video tular itu mendakwa sebuah masjid di Pulau Pinang yang dahulunya dimiliki India Muslim, kini menjadi tempat ibadat orang bukan Islam selepas pemiliknya pulang ke India.
Berikutan itu, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) menuntut permohonan maaf daripada Zainul Asri berikutan kenyataannya yang dilihat boleh menimbulkan salah anggap dalam kalangan masyarakat.
Selain menafikan dakwaan itu, Yang Dipertua MAINPP, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, ia juga boleh menimbulkan perbalahan antara kaum dan agama di negeri ini.