Isu penggunaan logo PRU-15, Anwar beri bayangan kekal guna logo PKR

Isu penggunaan logo PRU-15, Anwar beri bayangan kekal guna logo PKR

Pertikaian berhubung logo yang akan digunakan PH dalam PRU akan datang perlu diselesaikan secara rundingan, kata pengerusi gabungan itu, Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga presiden PKR berkata, ada pihak dalam PKR yang mencadangkan PH menggunakan logo parti itu, pada masa sama parti komponen mahu logo PH digunakan.

“Saya hormat pandangan akar umbi yang gesa pimpinan (PH) gunakan logo PKR (dalam PRU15).

“Saya juga faham dalam konteks PH, ada gesaan daripada teman-teman supaya guna logo PH.

“Jadi biarlah kita runding secara baik untuk dapatkan penyelesaian secara baik,” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.

Anwar juga berkata kedua-dua pihak mempunyai “hujah yang kuat” tetapi tidak mengulasnya secara lanjut.

Minggu lalu, Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan menggesa PH menggunakan logo parti itu pada PRU akan datang, menyifatkannya sebagai “formula yang akan membawa kemenangan”.

Bagaimanapun ia dibantah Pemuda DAP Wilayah Persekutuan yang mahu logo PH digunakan.

“Menggunakan logo sebuah parti bagi mewakili parti-parti lain di dalam sebuah pakatan politik dilihat sebagai tindakan yang agak mementingkan diri serta tidak menghormati kuasa dan kemampuan parti lain,” kata Ketua Pemuda DAP Wilayah Persekutuan Lee Bing Hong.

Sumber –