Isu pergaduhan angkara vape : Dakwaan kewujudan perisa vape dicampur dadah perlu disiasat

Isu pergaduhan angkara vape : Dakwaan kewujudan perisa vape dicampur dadah perlu disiasat

Polis menahan 16 lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam satu pergaduhan di sebuah pusat beli-belah di ibu negara yang tular di media sosial, semalam.

Kesemua suspek, yang berumur lingkungan 13 hingga 25 tahun, ditahan bagi membantu siasatan polis dan kes itu dipercayai berlaku akibat rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka melibatkan penggunaan rokok elektronik (vape).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Mohamad Zainal Abdullah dalam kenyataan memaklumkan siasatan mendapati insiden itu berlaku apabila seorang daripada mereka berada dalam keadaan khayal sebelum pengsan selepas menghisap vape.

Beliau berkata ujian air kencing mereka didapati negatif dadah dan kesemua suspek direman selama tiga hari bermula semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Katanya mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 21 saat memaparkan sekumpulan individu bertindak membelasah seorang lelaki yang dipercayai berlaku di depan sebuah pusat beli-belah di Jalan Bukit Bintang.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki ditahan kerana disyaki menyamar sebagai anggota polis dan cuba melakukan samun di sebuah medan selera di Taman Lembah Maju pada Jumaat lepas.

Suspek berusia 26 tahun itu merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNCHR).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Mohamad Farouk Eshak dalam satu kenyataan memaklumkan suspek cuba menyamun seorang lelaki yang juga pemegang kad UNCHR.

Beliau berkata suspek telah memeriksa beg pengadu namun mangsa yang berasa curiga bertindak melarikan diri ke arah polis yang berada di kawasan berdekatan.

Katanya suspek direman sehingga 2 April bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 170 dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan. – FMT