Isu pindah wang RM13j, Sanusi buat ‘u-turn’ nafi Mukriz terlibat
Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan, pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah sebanyak RM13 juta ke akaun bank berpangkalan di Kanada tidak dilakukan oleh pendahulunya, Mukhriz Mahathir, tetapi hanya ketika beliau menerajui kerajaan negeri.
Menteri Besar Kedah itu berkata, Mukhriz nampaknya “terkejut” dengan pendedahannya mengenai hal berkenaan semalam.
“Saya tidak kata ia dilakukan oleh beliau, tetapi ada transaksi. Dan saya rasa beliau tidak tahu, nampaknya beliau terkejut,” katanya pada sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini.
“Saya tak boleh dedahkan di sini (siapa pemilik akaun), kerana mungkin akan ada siasatan. Yang boleh saya maklumkan adalah ia akaun Barclay Bank.”
Sanusi terbuka untuk memberikan kerjasama jika ada siasatan dilakukan pihak berkuasa.
“Terpulang kepada pihak berkuasa kalau ingin buat siasatan, saya terbuka (untuk beri kerjasama).
“Jika didapati ada kesalahan, saya juga akan didapati bersalah jika menutupnya,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau sendiri akan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau polis, Sanusi berkata, sebarang siasatan atau tindakan terpulang kepada pihak berkuasa berkenaan.
“Saya rasa SPRM sendiri sudah tahu, menerusi laporan berita semalam. Saya akan ikut apa mereka kehendaki,” katanya.
Semalam, Sanusi mendedahkan terdapat rekod membuktikan berlaku pemindahan wang ke akaun bank berpangkalan di Kanada ketika Mukhriz menjadi Menteri Besar Kedah.
Mukhriz menyifatkan itu kali pertama beliau mendengar dakwaan sedemikian.
“Kita berharap boleh dapat kenyataan rasmi. Tidak perlulah melontar dakyah atau tohmahan begitu saja, seolah-olah langgar lari. Ini kali pertama saya dengar perkara itu apabila wartawan membangkitkan soalan berkaitan perkara itu,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Sanusi berkata hari ini seorang Menteri Besar perlu peka dengan hal yang berlaku di sekitarnya.
“Pentingnya Menteri Besar ni tahu apa yang berlaku di sekitarnya. Saya (sebagai Menteri Besar) kena tahu semua benda,” katanya.