Isu rampas kembali Pulau Pinang, Sanusi buat ‘pusingan-u’ dakwa hanya mahu pampasan ditambah

Tidak timbul isu Kedah mahu menuntut semula Pulau Pinang, sebaliknya hanya meminta kerajaan Persekutuan membuat penilaian semula pajakan mengikut kadar semasa.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun naratif yang dimainkan pihak tertentu berbeza kononnya rakyat Pulau Pinang akan kehilangan negeri dan sengaja dimainkan bagi memberi persepsi negatif.
Menurutnya, isu berkenaan turut dimaklumkan melalui surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengadakan rundingan untuk menilai kadar semasa pajakan, namun belum mendapat maklum balas.
“Perkara yang terkandung dalam surat berkenaan antara penjelasan yang saya berikan kepada polis Bukit Aman yang hadir ke pejabat untuk mengambil keterangan berhubung isu terbabit.
“Selain dokumen yang saya berikan kepada polis, saya juga sertakan konsistensi saya dalam urusan pentadbiran negeri sebagai Menteri Besar, iaitu tiga surat kepada Perdana Menteri untuk bertemu dan berunding beberapa perkara, antaranya bayaran pajakan Pulau Pinang,” katanya, memetik Sinar Harian.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai memberi keterangan lebih 30 minit berkaitan isu Pulau Pinang milik Kedah kepada polis Bukit Aman di Wisma Darul Aman pada Rabu.