Isu salahguna dadah : Tiada maaf bagimu

Isu salahguna dadah : Tiada maaf bagimu

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah serius.

Tegasnya, mereka yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta jenayah lain tidak akan dilindungi dan tidak akan terlepas daripada hukuman.

Walaupun pelbagai amaran dan nasihat sudah diberikan kepada pasukan untuk menyedarkan mereka, hingga kini ramai yang masih degil.

“Baru-baru ini, enam individu termasuk seorang pegawai polis ditahan sedang berhibur sambil mengambil dadah. Saya ingatkan, …tiada maaf lagi untuk kesalahan sebegini kerana perbuatan ini amat tidak bertanggungjawab.

“Saya sudah arahkan supaya siasatan lanjut dilakukan supaya mereka tidak terlepas dan akan akan pastikan mereka dihukum,” katanya ketika melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, beliau tidak boleh memberi jaminan seramai 129,000 kakitangan PDRM itu mampu mengikut peraturan.

“Saya tidak malu untuk mendedahkan salah laku polis kepada masyarakat kerana tidak ada apa yang perlu diselindungkan. Rakyat patut tahu jika mereka (polis) melakukan kesalahan. Saya sesekali tidak akan melindungi mereka yang melakukan kesalahan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pegawai dan lima anggota polis antara 14 individu ditahan dalam serbuan parti liar di sebuah pangsapuri di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata serbuan pada jam 1.30 pagi dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak. – BH