Isu saman : Asyraf kata ‘ON, tiada keperluan minta maaf’
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, masih berpegang kepada kenyataannya yang mendakwa wujud elemen manipulasi dalam buku teks sejarah Tingkatan 4.
Sehubungan itu, beliau berpandangan bahawa tiada keperluan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap mana-mana individu, memandangkan semua pertikaian dan gesaan dibuat bersandarkan bukti ilmiah serta berfakta.
“Kenyataan saya sedikit sebanyak mendapat reaksi yang begitu hebat dalam kalangan rakyat dan masyarakat, antaranya mereka berjawatan tinggi di kementerian.
“Saya pun tidak pernah menyentuh soal mana-mana individu atau pihak. Semak balik kenyataan saya, satu patah perkataan pun tidak sebut nama dia.
“Saya hanya beritahu soal kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 4 ini perlu ditarik balik dan dipinda,” katanya pada sesi perbincangan bertajuk ‘Buku Teks Sejarah Dimanipulasi – Komunis Pula Diagungkan?’ anjuran Pemuda UMNO yang disiarkan di YouTube, semalam.
Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, semalam mengarahkan peguam untuk menghantar surat tuntutan kepada Asyraf, bagi membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan, susulan susulan fitnah berhubung isu buku teks sejarah Tingkatan 4.
Asyraf berkata, kenyataannya sebelum ini dibuat bersandarkan kelulusan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) pada 24 April 2018 yang perlu mendapat kelulusan Kabinet bagi melaksanakan proses pencetakan.
“Jadi, antara 24 April 2018 hingga 2019, apakah benar ada tangan ghaib yang mengongkong atau memanipulasi penulis-penulis ini sehingga berlaku penyelewangan serta manipulasi fakta sejarah dalam buku teks ini.
“Kita tidak pertikaikan silibus, tetapi pengolahan, penumpuan dan penegasan dalam isi kandungannya. Kita bukan menuding jari kepada sesiapa, menuduh hatta pegawai kementerian, pendidikan dan sebagainya, tidak. Kita bercakap soal masa depan negara serta anak-anak generasi pewaris negara.
“Jadi, soal nak saman atau tidak, bagi saya teruskan kalau nak saman kerana tiada apa perlu saya takutkan kerana tiada fitnah yang kita tebarkan, tohmahkan kepada sesiapa.
“Kita bincang secara berfakta dan berilmiah. Kalau benar, saman, tiada masalah, tapi isu paling utama, kandungan buku ini perlu diperbetulkan,” katanya. – BH