Isu Sanusi hina Sultan Selangor: Pengajaran kepada orang politik, jangan sentuh kedaulatan institusi diraja

Isu Sanusi hina Sultan Selangor: Pengajaran kepada orang politik, jangan sentuh kedaulatan institusi diraja

 

BERITA penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada awal pagi Selasa, sedikit sebanyak menjentik fokus rakyat Malaysia terhadap musim pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Isunya tercetus apabila Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu didakwa mengeluarkan perkataan penghinaan terhadap institusi diraja Selangor menerusi ucapan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Video ucapannya yang tular itu dikatakan menghina Sultan Selangor sewaktu membandingkan pelantikan Menteri Besar Kedah dengan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Berikutan itu, lebih 50 laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak sekali gus kertas siasatan terhadap Muhammad Sanusi dibuka berhubung dakwaan menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

Sehari sebelum penahanan, satu titah daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa perkara membabitkan Muhammad Sanusi yang didakwa menghina institusi Diraja Selangor belum selesai.

Titah baginda yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office itu, ada menyatakan baginda berkenan menerima menghadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan di Istana Bukit Kayangan.

Difahamkan pertemuan itu membincangkan kenyataan oleh Menteri Besar Kedah tersebut dalam satu ceramah di Selangor baru-baru ini, yang dianggap menghina institusi Diraja Selangor.

Kemuncak episod berlaku apabila Muhammad Sanusi, 49, hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang pada pagi Selasa dengan dua pertuduhan iaitu mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan melalui satu ceramah politik. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Ekoran kejadian terhadap Menteri Besar Kedah itu, sedikit sebanyak membuka mata semua pihak iaitu setiap orang tidak sepatutnya menyentuh atau memandang ringan soal kedaulatan institusi diraja.

Sedia maklum, Malaysia merupakan negara yang unik dan dalam hierarki Persekutuan menunjukkan raja-raja pemerintah dan Yang di-Pertua Negeri berada di posisi paling atas melebihi kedudukan mana-mana pemimpin waima perdana menteri.Oleh itu, sebagai rakyat Malaysia yang taat dan prihatin, kita jangan sesekali mencemar kedaulatan institusi diraja sehingga mencetuskan polemik segenap negara.