Isu TAPS : KM Pulau Pinang harap Sanusi berani mulakan, jangan sembang kosong

Isu TAPS : KM Pulau Pinang harap Sanusi berani mulakan, jangan sembang kosong

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow memberi amaran mengambil tindakan undang-undang dan mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan pusat bagi menyelesaikan kemelut air mentahnya dengan Kedah.

“Sekiranya menteri besar kedah ini berpendapat bahawa beliau sewenang-wenangnya dapat melaksanakan projek di Kedah yang secara langsung mengancam bekalan air di Pulau Pinang, beliau silap.

“Sekiranya projek beliau memberi kesan buruk kepada Pulau Pinang, kita akan bertindak segera untuk menghentikannya serta-merta,” katanya.

Chow mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang akan melaksanakan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (Taps) pada tahun ini.

Chow juga berkata dia mempertimbangkan untuk mengusulkan bantahan untuk dibahaskan di parlimen atau mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghentikan projek itu.

Sanusi pernah menyatakan kesediaan untuk bersemuka di mahkamah berhubung isu itu bagaimanapun berkata pihaknya masih membuka ruang kepada Pulau Pinang untuk menyelesaikan perkara tersebut secara timbang tara.

Kedah sedang merancang beberapa projek yang dijangka memberi impak terhadap aliran air Sungai Muda yang pada masa ini menjadi sumber air mentah Pulau Pinang.

Dilaporkan, projek-projek tersebut untuk menakung air bagi menstabilkan paras air Sungai Muda sewaktu musim kemarau.

Sanusi juga membayangkan kemungkinan Pulau Pinang terpaksa menggunakan “air selut” jika mereka berkeras enggan membayar caj air mentah kepada Kedah.

‘Perlu persetujuan kerajaan pusat’

Bagaimanapun, Chow memberitahu bahawa semua skim berkaitan air yang dicadangkan Kedah turut tertakluk kepada kelulusan oleh kerajaan persekutuan.

“Berkemungkinan Kedah juga mungkin memerlukan dana Persekutuan, dalam bentuk pinjaman atau geran untuk menjalankan projek berkaitan air.

“Oleh itu, Menteri Besar Kedah boleh mencadangkan, tetapi kerajaan persekutuan dan/atau undang-undang negara boleh melupuskannya.

“Secara ringkasnya, Kedah tidak boleh menjalankan projek yang melibatkan Ulu Muda yang tidak sah atau tidak dipersetujui oleh kerajaan persekutuan,” katanya.

Sementara itu, katanya, tiada keperluan bagi Pulau Pinang membayar caj air mentah.

“Sejak tahun 1973, Pulau Pinang secara sah mengabstrak air mentah dari Sungai Muda tanpa membayar Kedah. Tiada pembayaran yang berlaku kerana tidak ada alasan perundangan yang bagi Pulau Pinang membayar Kedah.

“Pulau Pinang tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian, MoU (perjanjian persefahaman) atau kontrak untuk membayar Kedah,” katanya. – MK