Isu telur penyu : Bung jadi mangsa selepas nyatakan sokongan kepada Zahid

Isu telur penyu :  Bung jadi mangsa selepas nyatakan sokongan kepada Zahid

Gambar Timbalan Ketua Menteri Sabah, Bung Moktar Radin sedang menikmati hidangan termasuk apa yang didakwa kelihatan seperti telur penyu yang dilindungi kini berlegar di media sosial dan mungkin membawa masalah kepadanya.

Foto menunjukkan beliau memberikan isyarat bagus bersama seorang individu tidak dikenali kini tular di Facebook sejak pagi tadi.

FMT sudah menghubungi Bung yang juga pengerusi Umno Sabah untuk mendapatkan komen.

Ketika dihubungi mengenai perkara itu, Menteri Pelancongan, Budaya dan Persekitaran Sabah, Jafry Ariffin berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk meneliti dakwaan berkenaan.

“Berhubung foto seorang menteri Kabinet Sabah yang makan apa yang dilihat seperti telur penyu dihidangkan di atas meja, saya telah mengarahkan jabatan untuk melakukan siasatan penuh.

“Biar mereka menjalankan tugas terlebih dulu dan kita lihat apa hasilnya,” kata setiausaha Umno negeri itu melalui pesanan teks.

Pada 2017, bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, Ismail Sabri Yaakob memfailkan tuntutan saman fitnah sebanyak RM10 juta terhadap penerbit akhbar Daily Express dan editornya, James Sarda berhubung penerbitan tiga artikel berkaitan hidangan telur penyu dalam satu majlis di Sabah.

Ismail memfailkan saman itu pada 30 Mac di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendakwa defendan telah dengan salah dan berniat jahat menerbitkan tiga artikel di akhbar Daily Express mengenai sajian telur penyu yang dilindungi pada satu majlis makan malam di Kota Kinabalu yang dihadiri beliau pada 2015.

Beliau yang kini menteri kanan (Keselamatan) meminta defendan memohon maaf dan ganti rugi.

Dalam pembelaan mereka, defendan menafikan menerbitkan dan mencetak artikel tersebut dengan niat yang salah atau buruk.

Pada tahun berikutnya, pihak-pihak dalam kes tersebut bersetuju untuk menyelesaikan perkara itu di luar mahkamah.

Peguam yang mewakili pelanggan mereka bagaimanapun menolak untuk mendedahkan syarat penyelesaian yang dicatatkan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Darryl Goon Siew Chye dalam kamar.

Sumber : FMT