Isu undi percaya : Nasihat Aziz kepada Junaidi, ‘jangan lebih sudu daripada kuah’

Isu undi percaya : Nasihat Aziz kepada Junaidi, ‘jangan lebih sudu daripada kuah’

KENYATAAN Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa usul undi percaya tidak perlu diadakan agak ganjil dan pelik, kata Ketua Pembangkang Perak, Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau yang juga pakar Perlembagaan menyifatkan kenyataan Wan Junaidi yang didakwa mewakili Yang di-Pertuan Agong adalah sesuatu yang janggal daripada kelazimannya.

“Kebiasaannya titah Yang di-Pertuan Agong dizahirkan melalui kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja dan sebab itu kenyataan Wan Junaidi bahawa usul percaya tidak perlu diadakan agak ganjil.

“Sejak bila beliau dapat portfolio tambahan menjaga Istana Negara pula,” katanya kepada Malaysiapost hari ini.

Abdul Aziz berkata titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini supaya usul undi percaya diadakan segera pada sidang Parlimen akan datang telah dikeluarkan secara terus oleh Istana Negara tanpa melalui saluran kerajaan.

Menurutnya, sekiranya ada perkembangan terkini atau titah baharu daripada Yang di-Pertuan Agong, pastinya pihak Istana Negara akan mengeluarkan kenyataan.

Beliau turut memberi contoh insiden pada sidang Parlimen sebelum ini di mana Istana Negara mengeluarkan kenyataan kemurkaan Yang di-Pertuan Agong terhadap kekeliruan berkenaan pemansuhan secara ‘back date’ proklamasi darurat dan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat.

“Sekiranya ada u-turn pun mesti ada sebab-sebab yang hanya pihak istana tahu. Rakyat berhak untuk berasa syak kerana apa yang didakwa oleh kerajaan pernah terbukti tidak benar sebelum ini,” katanya.

Justeru, Abdul Aziz meminta pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mengheret institusi istana terlibat dalam kancah politik sebagaimana berlaku terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Saya ingin menegaskan, bahawa konsep raja berperlembagaan hanya memberi ruang untuk kerajaan memberi nasihat bukan bercakap bagi pihak Istana,” katanya.

Hari ini media melaporkan Wan Junaidi mendakwa Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan agar undi percaya tidak dilaksanakan terhadap Perdana Menteri pada sidang Parlimen yang bakal bermula 13 September ini.

Sumber– Malaysiapost