Isu warganegara : Sultan Johor titah batalkan rayuan, AG dedah rayuan tetap diteruskan

Isu warganegara : Sultan Johor titah batalkan rayuan, AG dedah rayuan tetap diteruskan

Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menggesa kerajaan menggugurkan rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu bahawa wanita rakyat Malaysia boleh memberikan kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara.

Baginda bertitah menyatakan semua anak rakyat Malaysia yang dilahirkan di luar negara mesti diberikan hak kerakyatan negara ini.

“Kesucian mahkamah mesti dipelihara. Mengapa ibu warganegara Malaysia yang melahirkan di luar negara perlu alami diskriminasi? Ini adalah hak asasi setiap anak yang dilahirkan, tidak kira ibu atau bapanya yang merupakan warganegara Malaysia.

“Ada sesuatu yang tidak kena apabila pihak bapa dan ibu dipandang secara berbeza daripada sudut undang-undang dalam soal berkaitan kerakyatan anak mereka. Adakah ibu dan bapa mempunyai taraf kerakyatan Malaysia yang berbeza?” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO) yang dimuat naik di Facebook Baginda.

Pada 13 Sept lalu, kerajaan memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi minggu lalu bahawa wanita rakyat Malaysia boleh memberikan kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara.

Peguam Negara Idrus Harun dalam pesanan ringkas kepada FMT berkata, notis rayuan ke Mahkamah Rayuan itu telah difailkan, manakala memorandum rayuan menggariskan hujah berhubung kesilapan fakta atau undang-undang keputusan berkenaan akan difailkan sebaik penghakiman bertulis diperoleh.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim berkata kerajaan tidak wajar menolak kerakyatan kepada mereka yang berhak, lebih-lebih lagi apabila Malaysia kini berdepan masalah serius kehilangan orang muda yang berbakat dan berkelayakan.

Baginda berkata inilah masanya untuk menerima mereka dan menerapkan semangat Malaysia dalam diri mereka, bukannya menolak dan menghalau mereka.

Baginda berkata dasar seperti itu adalah tidak betul.

Sultan Ibrahim juga berkata, dalam semangat “Keluarga Malaysia” yang dipelopori Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, peguam negara harus segera menarik balik rayuan ke atas keputusan mahkamah itu.

Sumber – FMT