Jadi jurutafsir kenyataan Pas, AMK perlu lebih matang

Jadi jurutafsir kenyataan Pas, AMK perlu lebih matang

Cadangan PAS berhubung persempadanan semula jika parti itu dan gabungannya menang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat pada PRU akan datang tidak mencerminkan tujuan sebenar persempadanan semula kawasan pilihan raya, kata Pemuda PKR (AMK).

Ketua AMK Akmal Nasir dan Setiausaha AMK Syukri Razab berkata apa yang dicadangkan Jawatankuasa Pusat PAS Khairuddin Aman Razali tersebut sebenarnya adalah manipulasi sempadan pilihan raya (gerrymandering) demi kepentingan politik.

Ia juga bibit manipulasi sistem demokrasi yang berpotensi menjurumuskan negara ke krisis demokrasi yang serius, kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

“Ini merupakan kenyataan politik yang sama sekali tidak mencerminkan tujuan sebenar persempadanan semula kawasan pilihan raya diadakan.

“Istilah kononnya ini menguntungkan Melayu-Islam hanyalah dakyah politik untuk mengaburi mata rakyat kerana hakikatnya ini adalah gerrymandering bagi memberikan keuntungan politik kepada PAS dan sekutu mereka,” kata mereka.

Semalam, Khairudin yang juga menteri perusahaan perladangan dan komoditi berkata PAS mahu menguasai dua pertiga kerusi Dewan Rakyat dalam PRU-15 agar parti itu bersama gabungannya dapat melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Dia berkata, pertambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu boleh diusahakan dan ia akan menguntungkan orang Melayu-Islam.

Khairuddin Aman Razali

 

Perkara sama turut disuarakan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang berkata ia pernah dibangkitkan ketika pentabdiran BN.

“Ada kawasan parlimen (di Pantai Timur) jumlah pengundinya sehingga 80,000 orang, jadi dari segi tanggungjawab wakil rakyat nak menjaganya, menjadi satu beban kepada dia. Sebab biasa(nya) dalam 20,000 sehingga 30,000 orang dan paling ramai 40,000 pengundi (sahaja),” katanya.

Kata Akmal dan Syukri, memandangkan kali terakhir Dewan Rakyat meluluskan persempadanan semula kawasan pilihan raya adalah pada 28 Mac 2018 lalu, ia hanya boleh diadakan paling awal pada 2026.

Ia berdasarkan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan persempadanan semula mestilah tidak kurang daripada lapan tahun antara tarikh siap satu kajian semula.

“[…] Agak mendukacitakan apabila PAS yang suatu ketika dulu begitu lantang membantah gerrymandering yang jelas mempunyai agenda menguntungkan kerajaan semasa serta bertentangan dengan prinsip keadilan begitu cepat berubah apabila peroleh kuasa dengan kini mencadangkan perkara yang sama,” kata mereka.

Mereka juga menggesa sebarang usaha manipulasi sempadan kawasan pilihan raya dihentikan, dan tumpuan diberikan bagi menyelesaikan hal-hal berkaitan penurunan had umur mengundi kepada 18 tahun.

PAS merupakan antara pihak yang menentang persempadanan semula pada Mac 2018 sebelum PRU14, ketika menjadi pembangkang.

Parti itu kini menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat melalui penyertaan mereka dalam Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu.

Dalam PRU lalu, PAS menang 18 kerusi daripada 100 kerusi parlimen yang ditandinginya.  – MK