Jadikan Liverpool sebagai persamaan, netizen gelakkan Tok Mat ketinggalan maklumat

Jadikan Liverpool sebagai persamaan, netizen gelakkan Tok Mat ketinggalan maklumat

Dalam sebarang perancangan dan rundingan, kata Mohamad Hasan, Umno wajib menjadi induk dan mengepalai gerakan itu dan menjadikan kelab Liverpool sebagai contoh.

Memetik nama kelab bola sepak Inggeris itu secara berseloroh timbalan presiden Umno itu berkata kedudukan parti berkenaan sebagai tunggak kerajaan adalah penting bagi menentukan hala tuju negara yang lebih baik.

“Kita bukan mahu mendabik dada, menyatakan hanya kita yang paling pandai, paling tahu semua perkara. Bukan itu maksud saya.

“Cuma, BN yang diterajui oleh Umno sebagai induk itu, ada kelebihannya yang tersendiri yang telah terbukti, malah yang cuba ditiru oleh orang lain tetapi gagal.

“Punca kegagalan mereka sebenarnya ialah, meminggirkan Umno sebagai parti terbesar Melayu,” katanya ketika berucap merasmikan serentak sayap parti Umno iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri di PWTC, pagi ini.

Jelas Mohamad, Umno tidak boleh menjadi ‘pemain kedua’ atau ‘pemain simpanan’ dalam politik negara.

Menyentuh mengenai pembaharuan dan pembaikan politik Umno, Mohamad berkata memang ada yang tertanya-tanya siapa pihak yang akan didampingi parti berkekaan.

“Jawapan jujur saya: belum ada sebarang ketetapan. Semua ini masih kekal sebagai satu kemungkinan. Semuanya harus melihat kepada keperluan dan keadaan. Masa akan menentukan.

“Tetapi yang boleh ditegaskan, semua keputusan dan tindakan dalam pembaikan politik ini mesti diputuskan oleh semua dan bukan segelintir. Ia mesti disepakati dan bukan dipaksa-paksa.

“Sebab Umno bukan parti terdesak. Kita bukan mereka yang menjaja janji demi mengemis kuasa,” katanya.

Tambah Mohamad Umno akan kekal sebagai Umno yang yang “tidak akan berhenti memberi kebaikan kepada orang Melayu, orang Bukan Melayu dan tanah air Malaysia.”

Jangan kilas tangan Umno

Namun katanya apa saja langkah strategik kepada Umno Melayu dan Islam serta Malaysia secara keseluruhan – dan mendapat sokongan akar umbi – mereka sangat bersedia untuk duduk berbincang dan meneroka jalan bagi menyelesaikan krisis politik negara.

“Yang penting, mana-mana pihak yang mahu bekerjasama dengan kita mesti meyakini kemampuan Umno untuk menjadi pengemudi, induk.

“Bukan pemain kedua yang sekadar dikutip untuk memenuhi kuota, atau bilangan kerusi yang diperlukan.

“Kita nak jadi Liverpool yang menguasai Liga Inggeris. You’ll never walk alone,” katanya sambil ketawa memetik moto kelab digelar The Reds itu.

“Tidak ada mana-mana pihak atau individu yang boleh memberitahu atau mengarahkan Umno tentang bagaimana dan dengan siapa kita harus berunding untuk membentuk sebuah kerajaan,” tambah Mohamad lagi.

Untuk rekod Liverpool merupakan juara Liga Perdana Inggeri pada musim lalu, selain mengungguli Kejohanan Juara-juara Eropah dan juara Kelab Dunia.

Bagaimanapun untuk musim semasa, The Reds tidak begitu menyerlah dan sedang menduduki tangga ketujuh liga.

Kenyataan Mohamad itu dibuat ketika Umno dikatakan sedang mengadakan perbincangan dengan parti lain untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Untuk rekod Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim sendiri mengakui pihaknya ada berbincang dengan Umno namun ia masih di peringkat awal.

Pada masa sama sesetengah pemimpin Umno mendakwa Umno cuba mencari titik persefahaman dengan pihak pembangkang, bukan saja terhad kepada PKR malah DAP.

Mereka juga menegaskan pendirian Majlis Tertinggi Umno masih kekal iaitu menolak Anwar dan DAP.

Menurut Mohamad buat waktu ini Umno mahu memilih sendiri langkahnya dan memperlihatkan kekuatan sebenar sebagai parti politik tanpa mengorbankan kepentingan strategiknya.

“Dan ini bermakna, Umno tidak akan memperjudikan mana-mana kerusi Umno. Kerusi Umno adalah kerusi Umno dulu, kini dan selamanya. Ia bukan untuk dilepaskan demi memberi talian hayat kepada mana-mana pihak.

“Jangan ada yang cuba untuk mengilas tangan Umno. Kita tidak akan mengalah. Kita tidak akan melatah,” katanya. – MK