Jadikan raja-raja sebagai benteng, Annuar Musa dianggap semakin terdesak pertahan kuasa

Jadikan raja-raja sebagai benteng, Annuar Musa dianggap semakin terdesak pertahan kuasa

Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa menyifatkan tawaran yang dibuat Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin untuk menjalinkan kerjasama dengan pimpinan parti di luar Perikatan Nasional (PN) sejajar dengan hasrat kerajaan dan rakyat untuk mengakhiri kemelut politik tanah air, hari ini.

“Tinjauan jelas mendapati sentimen rakyat tidak suka kepada tindakan bersifat politicking dan berebut kuasa.

“Titah ucapan dari Raja–raja dan Sultan di Johor, Selangor, Pahang juga menunjukkan hasrat yang sama.

“Justeru, tawaran jalan keluar menerusi pelan transformasi bersifat bipartisan dan inklusif serta fokus kepada pemulihan nasional seperti di ketengahkan perdana menteri adalah satu bentuk pemikiran luar kotak yang wajar di renungi,” katanya pada satu kenyataan.

Muhyiddin kini sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen selepas 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya.

Ekoran itu, Muhyiddin ketika berucap pada perutusan khas secara langsung melalui televisyen lewat petang semalam, mengumumkan beberapa tawaran kepada ahli parlimen pembangkang bagi mendapatkan sokongan bipartisan untuk kekal berkuasa dan membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19.

Dia juga berkata tidak akan meletakkan jawatan dan kabinetnya bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan pemimpin parti dari luar PN menjelang undi percaya bagi menguji sokongan majoritinya di parlimen bulan depan.

Dia juga menawarkan cadangan supaya ketua pembangkang mendapat imbuhan setara dengan menteri kanan, serta menggubal undang-undang antilompat parti.

Namun, setakat ini ia tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan, sebaliknya pimpinan pembangkang menyifatkan tawaran Muhyiddin itu sebagai “rasuah”.

Mengulas lanjut, Annuar mengecam penolakan yang dibuat kepimpinan pembangkang.

“Bagi yang masih dalam kepompong vengeance politics, dendam, irihati atau kepuakan, sudah tentu akan memberikan knee-jerk reaction yang negatif.

“Namun bagi yang tulen mencari kebaikan untuk rakyat, yang ingin berkhidmat dan yang ingin melihat reformasi berlaku, tawaran ini pastinya wajar disusuli,” katanya.

Annuar turut menyifatkan tawaran Muhyiddin semalam sebagai permulaan politik yang matang.

Tambahnya, Umno juga harus menyelami perkara itu dengan sedalam-dalamnya, selain mengambilnya sebagai satu pendekatan baru.

Umno juga, katanya boleh mengemukakan syor-syor transformasi tambahan yang lebih padu demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Muhyiddin kini masih mendapat sokongan 23 daripada 38 ahli parlimen Umno, namun tidak mendapat majoriti sokongan anggota Dewan Rakyat.

Dia kini mendapat sokongan 110 daripada 220 anggota parlimen di Dewan Rakyat.

Sumber – Malaysiakini