Jalin hubungan sulit dengan isteri suspek punca tukang masak maut dibom
Hubungan sulit antara mangsa dan isteri suspek dipercayai motif kejadian letupan bom buatan sendiri di Pandan Indah, Ampang Jaya, Khamis lalu sehingga menyebabkan seorang tukang masak maut.
Difahamkan, suspek bekerja sebagai pembuat seramik belajar membuat bom buatan sendiri menerusi Youtube.
Sumber berkata, tindakan mangsa yang mempunyai hubungan sulit itu sudah diketahui suspek sejak Mei tahun lalu.
“Mangsa kemudian melarikan diri dari Kedah dan berpindah ke Ampang sebelum berlaku kajadian letupan berkenaan.
“Siasatan lanjut kini sednag berjalan. Polis tidak menolak kemungkinan suspek belajar membuat bom dari Youtube,” katanya, seperti dilapor Harian Metro.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, susulan daripada kejadian itu polis menahan pasangan suami isteri berusia 33 dan 30 tahun ditahan di Serdang dan Kedah pada jam 7.20 malam semalam.
“Perintah tahanan reman sudah dipohon dan Majistret membenarkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”katanya.
Dalam kejadian 8.55 malam itu, tukang masak sebuah restoran berusia 28 tahun maut apabila berlaku letupan ketika memegang bungkusan yang ditinggalkan di bonet keretanya.
Mangsa parah pada badan dan tangan. Mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan namun disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam.
Hasil siasatan di lokasi kejadian, polis menemukan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekukan pada kereta mangsa.