“Jam 1 pagi, wanita muda berambut panjang mengurai berbaju kurung melambaikan tangan menahan kereta sewa saya”- Disangka wanita rupanya

“Jam 1 pagi, wanita muda berambut panjang mengurai berbaju kurung melambaikan tangan menahan kereta sewa saya”- Disangka wanita rupanya

 

Sebagai seorang pemandu kereta sewa, Ishak Harun, 65, berpengalaman luas dengan selok-belok jalan terutama di Terengganu.

Lelaki yang menetap di bandar Paka, Dungun itu berpengalaman menghantar ramai pelanggan sehingga ke daerah Besut dengan kereta sewanya sebelum memperlahankan kerjayanya beberapa tahun lalu atas faktor usia dan kesihatan.

Bercerita tentang pengalamannya, peristiwa seram dialami sewaktu menumpangkan seorang wanita di Bukit Bauk, Dungun pada tahun 1990-an masih belum dapat dilupakan.

“Menyebut tentang Bukit Bauk, masyarakat setempat sering melabelkannya sebagai lokasi menyeramkan dan misteri serta kononnya mempunyai penempatan bunian.

“Kebetulan sebelum dinaik taraf pada tahun 2014, jalan yang menjadi antara laluan utama ke Pantai Timur sebelum kewujudan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT 2) itu agak sempit, berselekoh tajam dan gelap sehingga sering mencetuskan kemalangan maut,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.

Ishak mengakui pada mulanya kurang percaya dengan dakwaan-dakwaan tersebut sehinggalah persepsinya berubah setelah mengalaminya sendiri pada tahun 1990-an.

“Waktu itu saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Paka selepas menghantar penumpang ke Kampung Kuala Abang, Dungun. Sebaik melintasi laluan di Bukit Bauk, seorang wanita muda berambut panjang mengurai berbaju kurung melambaikan tangan menahan kereta sewa saya,” ceritanya.

Ishak berkata, pada mulanya dia tidak mahu melayan memandangkan pada ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi, namun tetap memberhentikan kenderaan.

Wanita yang berusia dalam lingkungan 20-an itu merayu ihsan saya untuk membantu membawanya pulang ke rumah orang tuanya yang terletak di sebuah perkampungan tidak jauh dari kawasan itu.

“Dia dengan sebak mendakwa mengalami kesulitan sehingga kehilangan barangan peribadi termasuk beg duit. Saya yang tidak sampai hati telah mempelawanya masuk ke dalam kereta sewa dan berjanji akan menghantarnya pulang tanpa mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

Tambah Ishak, walaupun hatinya meronta untuk mengetahui lebih lanjut, wanita itu hanya memberitahu nama dirinya sebelum mendiamkan diri di tempat duduk penumpang belakang di sepanjang perjalanan. Walaupun baju kurung wanita itu agak berkedut dan berkeromot, bau badannya wangi membuatkan rasa was-wasnya tentang kemungkinan wanita itu sebenarnya hantu hilang serta-merta.

“Tidak lama kemudian, kereta sewa yang saya pandu tiba ke destinasi dan dia sempat menunjukkan rumah orang tuanya yang terletak di tepi jalan sebelum mengucapkan terima kasih dan beredar pergi,” ujarnya.
Hari terus berlalu, rezeki Ishak mencurah-curah selepas itu dengan menerima ramai penumpang terutama bagi perjalanan jarak jauh.

Begitupun dia tetap tidak sedap hati dan nekad mengunjungi rumah yang ditunjukkan wanita pada malam itu bagi mengetahui cerita sebenar beberapa minggu selepas itu.

“Kedatangan saya disambut pasangan suami isteri yang mengakui ibu bapa wanita itu. Terkejut kedua-dua mereka, malah wanita warga emas itu menangis teresak-esak apabila mendengar cerita saya. Dalam keadaan serba salah, suami isteri itu memberitahu wanita yang menaiki kereta sewa saya itu sebenarnya sudah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya di Bukit Bauk kira-kira sebulan sebelum saya menemui ‘kelibatnya’,” katanya.

Mendengar penjelasan itu, giliran Ishak pula terkejut dan bertanya berkali-kali bagi mendapatkan kepastian sebelum ditunjukkan pusara wanita itu yang dikebumikan di tanah perkuburan Islam tidak jauh dari rumahnya.

“Saya demam beberapa hari selepas itu. Walaupun tak pasti hikmah di sebalik kejadian, sejak hari itu, saya lebih kerap memasang bacaan al-Quran terutama apabila memandu kereta sewa pada waktu malam berbanding memutarkan radio untuk dengar lagu kesukaan,” ujarnya.