Janda bawa anak 9 tahun ketika dicekup khalwat
Seorang wanita memberi alasan sekadar mahu bersiar-siar sambil menyaksikan pertunjukan bunga api sempena malam sambutan Tahun Baharu 2023 ketika dicekup berkhalwat bersama pasangannya di sebuah hotel di Taman Kemuning, di sini awal pagi tadi.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad, berkata hasil pemeriksaan mendapati wanita berusia 32 tahun berstatus janda itu turut membawa anak lelakinya berusia sembilan tahun untuk mengaburi perbuatannya itu.
Beliau berkata, dia dan pasangannya yang berusia 22 tahun dan masih bujang itu dicekup pada jam 1.35 pagi oleh sepasukan anggota penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) yang diketuai pegawai, Azwan Azman.
Beliau berkata, dalam operasi Tahun Baru yang diadakan bermula tengah malam tadi di sekitar daerah itu hanya pasangan itu ditahan kerana disyaki berkhalwat dalam pemeriksaan di hotel berkenaan.
“Ketika mengetuk pintu dan memberi salam, seorang lelaki yang berpakaian lengkap membuka pintu bilik dan membenarkan pemeriksaan dilakukan.
“Pada waktu itu, terdapat seorang wanita bersama seorang kanak-kanak lelaki berada dalam bilik berkenaan namun hasil soal siasat mendapati, pasangan itu bukan suami isteri atau mahram dan disyaki berkhalwat,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.
Anwar Shariffudin berkata, hasil siasatan lanjut mendapati wanita itu mendakwa sudah empat tahun hidup menjanda.
Katanya, anak mereka sebelum ini tinggal bersama bekas suaminya di Selangor namun pulang tinggal bersamanya di sini sempena cuti sekolah.
“Pada mulanya wanita itu mengaku sudah bertunang dengan lelaki berkenaan sebagai helah untuk mengelak dari dicekup namun selepas ditanya berulang kali, dia akhirnya mengaku baru hendak bertunang tahun ini.
“Mereka mendakwa berkenalan melalui laman sosial Facebook (FB) sejak lebih tiga bulan lalu,” katanya.
Anwar berkata, wanita itu bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang dan menetap di kawasan perumahan di sini yang hampir dengan lokasi hotel berkenaan manakala lelaki berkenaan adalah pekerja sebuah kilang di Shah Alam, Selangor.
Beliau berkata, mereka memberi alasan baru menyewa bilik hotel itu sekitar jam 7 malam dan sewaktu serbuan dilakukan, anak wanita itu dipercayai sedang tidur.
“Mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen mengesahkan mereka pasangan suami isteri atau mahram dan ditahan mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.
“Pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan,” katanya.