Jangan cuba halang rombongan Menteri lawat mangsa banjir – Timbalan Menteri

Jangan cuba halang rombongan Menteri lawat mangsa banjir – Timbalan Menteri

Media sosial mulai dihujani dengan video-video insiden menteri kabinet dihalau ketika mengunjungi pusat-pusat penempatan banjir.

Antara yang terkesan dengan tindakan mangsa banjir itu Azmin Ali, Menteri MITI yang dihalau keluar ketika bersesak-sesak bersama pengiringnya turun ke kawasan terlibat.

Ketika menjawab isu berkenaan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata lawatan barisan menteri dan timbalan menteri ke lokasi mangsa banjir bukannya berunsurkan politik.

Malah ianya merupakan lawatan ihsan bagi membantu mereka yang terjejas. Dalam masa yang sama, dia berharap perkara itu tidak sepatutnya dijadikan isu kerana boleh mencetuskan kegelisahan dan kemarahan rakyat.

“Kalau kita lihat bukan sahaja di Jelebu, tetapi Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak dan Pahang alami banjir, kesemua kawasan terjejas dilawati oleh barisan menteri kabinet dan timbalan menteri.

“Ia termasuk pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari pelbagai peringkat yang mana kehadiran mereka bukan disebabkan politik, tetapi hadir atas rasa untuk bersama-sama menyumbang khidmat bagi membantu masyarakat yang terjejas,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Jelebu di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan netizen yang mempersoalkan kehadiran pemimpin melawat lokasi banjir yang disertai dengan pengiring yang ramai.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berpendapat, kehadiran barisan pemimpin itu adalah mencerminkan semangat Keluarga Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Oleh kerana mereka tidak terlibat dengan keadaan musibah yang sebegitu rupa, maka mereka hadir beri bantuan.

“Saya harap perkara ini tidak dijadikan isu kerana boleh mencetuskan kegelisahan dan kemarahan rakyat apatah lagi dalam usaha kita sedang membangkitkan semangat mereka yang terjejas,” katanya.