Jangan dahului Majlis Presiden, pemuda AMANAH beri amaran kepada Tony Pua

Jangan dahului Majlis Presiden, pemuda AMANAH beri amaran kepada Tony Pua

TONY PUA PERLU HORMATI MAJLIS PRESIDEN IKUT DISIPLIN SEBAGAI ANGGOTA PAKATAN HARAPAN

Tindakan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang secara terbuka membuat kenyataan berkenaan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan Dato’ Seri Ismail Sabri adalah tindakan yang tergesa-gesa dan membelakangi Majlis Presiden sebagai badan tertinggi dalam membuat keputusan parti.

Pemuda AMANAH ingin mengingatkan agar semua pihak mengikut disiplin sebagai ahli anggota dalam Pakata Harapan dan tidak menimbulkan perkara yang belum benar-benar menjadi keputusan PH sebagai langkah berhati-hati dalam mengambil tindakan.

Walau apapun hujah dan asas yang diberikan untuk menjadikan tindakan tersebut sebagai hak menyampaikan pandangan, tetapi strategi dan proses membuat keputusan harus diikuti terlebih dahulu supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada akar umbi.

Dalam hal ini, Pemuda AMANAH menggesa supaya pertimbangan dan penelitian yang mendalam perlu dibuat serta melibatkan pimpinan di semua peringkat agar ia tidak disalah tafsir dan menimbulkan keraguan di kalangan penyokong.

Justeru, Pemuda AMANAH menggesa semua pihak khususnya di kalangan pimpinan semua parti anggota PH tidak mengulangi tindakan tersebut yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kecurigaan semua pihak.

MUHAMMAD TAQIUDDIN CHEMAN
Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Nasional

29 Ogos 2021
20 Muharam 1443H