Jangan ulangi kesilapan lalu, teguran ikhlas Sabri Yunus kepada pemimpin PH
Andainya Pakatan Harapan (PH) mendapat peluang menjadi kerajaan semula, ada pesanan yang disampaikan pelakon, pelawak dan pengarah terkenal tanah air untuk gabungan tersebut.
Menurut Sabri Yunus, jika ditakdirkan PH memerintah Malaysia, gabungan itu mesti belajar daripada kesilapan lalu dan menjadi perikatan polik dengan wajah yang baru.
PH dulu, katanya, melakukan begitu banyak kesilapan dan kegalalan.
Paling parah, katanya, PH gagal menguruskan isu hubungan di antara kaum dan ia kemudian melarat kepada kemelut lain termasuk membabitkan aspek keagamaan.
“Tak hormat bahasa dan budaya, ekonomi juga gagal, rasuah tak selesai,” katanya dalam hantaran di media sosial petang tadi.
Malaysia sedang ditadbir oleh seorang perdana menteri sementara ekoran peletakan jawatan Muhyiddin Yassin semalam. Presiden Bersatu itu bertindak sedemikian selepas sokongan yang diperolehinya daripada ahli parlimen tidak mencapai jumlah minimum yang diperlukan.
Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima peletakan jawatan tersebut dan proses mencari pengganti sedang berjalan.
Setakat ini semua parti politik masih berunding antara satu sama lain untuk mendapatkan sokongan secukupnya bagi membolehkan seorang ahli parlimen sedia ada dilantik menggantikan Muhyiddin.
Umumnya ada tiga kumpulan sedang bersaing untuk jawatan tersebut iaitu Perikatan Nasional, BN dan PH.
Untuk rekod, berdasarkan keputusan PRU lalu, PH adalah kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat untuk menjadi kerajaan, namun ia dijatuhkan melalui Langkah Sheraton pada penghujung Feb 2020.
Sabri berkata berbekalkan pengalaman selama 22 bulan menjadi kerajaan, PH sepatutnya tahu apa yang perlu mereka lakukan jika terpilih menjadi kerajaan semula.
Dengan itu katanya PH boleh hadir dengan jiwa baru.
“Pengalaman gagal dah ada. Mesti dah tahu gagal di mana, apa yang gagal, maka tidak patut ulangi gagal yang sama.
“Ini harapan ambo, rakyat kecil yang menagihkan keharmonian dan keselesaan,” katanya.
Sumber – Malaysiakini