Jatuh cinta dengan rakan sekerja, kenapa masih banyak berlaku?

Jatuh cinta dengan rakan sekerja, kenapa masih banyak berlaku?

 

Sering kali kita dengar banyak berlaku skandal di kalangan rakan sekerja atau ‘officemate’ yang bekerja dalam satu pejabat.

Masalah sosial ini dilihat seolah-olah semakin dinormalisasikan di kalangan masyarakat apabila ianya turut kerap dipaparkan menjadi plot drama filem dan TV.

Menurut pakar motivasi Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, peratusan berlakunya kejadian curang di tempat kerja seperti ini masih lagi tinggi.

Kenapa agaknya ianya masih kerap berlaku? Ikuti hantaran yang dibuat oleh beliau di Facebooknya berikut untuk kita jadikan peringatan bersama. Awas, penyondol!

Officemate

Ingat, jatuh cinta dengan officemate ni bahaya akibatnya!

Peringatan buat suami orang dan juga isteri orang.

Dah jelas bergelar ‘kepunyaan orang’. Maka kena ingat batas-batas dalam pergaulan.

Ingat! Jangan buka ruang untuk orang melayan kita lebih-lebih dan kita pula jangan cuba-cuba untuk layan orang lebih dari kita melayan pasangan kita sendiri.

Kena jelas bahawa kita ni dah jadi “hak milik” orang, maka kat atas kepala ni dah macam ada cop ye.

Banyak benar kes Tok Abah temui mereka yang sering bertemu ‘seseorang’ di tempat kerja.

Mula-mula kerja bersama. Lepas itu, keluar lunch berdua. Kemudian, balik pula sama-sama. Hantar sampai depan pintu kereta.

Itu baru bibit permulaan sahaja.

Di situlah sudah mula serasi, tersuka dan lebih parah lagi, rasa jadi macam “mangsa keadaan”.

Padahal, dia sendiri yang buka peluang untuk orang lain berkasih sayang.

Punya syok bermadu kasih sampai kawan sekerja rasa tak molek tengok pergaulan kalian.

Padahal masa inilah, pasangan dia di rumah sedang bertungkus lumus menguruskan anak-anak. Kadang dia menangis sendirian kerana rasa tak cukup ‘sempurna’ untuknya.

Yang si dia pula, sedang tak ingat dunia ber’dating’ di tempat kerja.

Bila dah jadi “hak milik” orang lain, kita tak boleh melayan lebih-lebih.

Awalnya suka-suka, lama-lama hilang pertimbangan dan akhirnya berlaku dosa-dosa yang di luar jangkaan.

Ikut survey Tok Abah, peratusan yang berlaku curang di tempat kerja ni tinggi. Dan takutnya, si penyondol ni semua tak kisah status perkahwinan officematenya tu.

Kerana bagi mereka, “ala kami kawan sahaja”.

Mula-mula kawan, akhirnya kahwin pula. Aduh!

Anak cucu dan sahabat Tok Abah sekalian,

Bersikaplah professional di tempat kerja. Jangan bergaul macam kamu zaman belajar dahulu. Waktu itu kamu masih single. Bolehlah nak melayan. Ini dah ada anak-anak berderet, pun sikap macam orang bujang. Bahaya ni.

Ingat, tempat kerja kita adalah tempat mencari rezeki, bukan tempat mencari jodoh. Kerjalah dengan sebaiknya. Ingat, setiap hari adalah perjuangan kita untuk keluarga tercinta. Bukan merebut orang luar yang baru kita cintai.

Bergaul ikut batas.

Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah,
Kerja sungguh-sungguh. Jangan culas!