Jawatankuasa Kesihatan PH gesa KKM langkau NPRA, percepat kelulusan vaksin atasi bencana Covid-19

Bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, menyeru Kementerian Kesihatan (KKM) melangkau Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dalam usaha mempercepatkan vaksinasi Covid-19.
Dalam webinar anjuran Wisdom Foundation, beliau berkata, memandangkan krisis kesihatan di negara ini semakin buruk dan kesukaran memberi vaksin kepada rakyat dengan cepat, campur tangan drastik diperlukan.
“Kepada Menteri dan Ketua Pengarah (Kesihatan), tolong atasi NPRA sekarang. Agensi ini tidak boleh jadi penghalang pendaftaran vaksin yang terbukti selamat di negara lain,” kata Lee.
Beliau mempersoalkan mengapa Malaysia tidak merujuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk garis panduan kelulusan, dan merasakan NPRA “sombong” dengan menganggap ia adalah badan kelulusan lebih baik.
“Lihat pada Sinopharm. Vaksin ini diluluskan WHO, jadi kenapa kita tidak melakukan perkara sama?” soal beliau.
Bekas Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmed turut mempersoalkan mengapa kelulusan di AS dan Eropah tidak dijadikan pemangkin untuk pendaftaran vaksin di Malaysia.
“Vaksin-vaksin ini telah melalui ujian yang ketat. Oleh kerana kita dalam keadaan terdesak, kita tidak boleh bertindak seolah-olah kita ada banyak masa.
“Kita lihat kelulusan diberikan untuk penggunaan kecemasan di negara lain disebabkan ini, terutamanya bagi vaksin yang menjalani semakan setara dan mempunyai penyelidikan yang diterbitkan.”
Beliau berkata, produk seperti vaksin Sputnik V, yang Malaysia meterai perjanjian untuk mendapatkannya, dan vaksin buatan Moderna, dikaji dan hasil kajiannya diterbitkan dalam penerbitan terkemuka, seperti Lancet dan New Medical Journal of Medicine.
“Tidak ada keraguan lagi tentang vaksin-vaksin ini,” kata beliau.
Lee berkata, kebenaran bagi penggunaan kecemasan, yang lazimnya bergantung kepada kelulusan agensi regulatori lain, boleh ditarik balik jika ada masalah timbul dengan produk tertentu. – FMT