Jay Chou bersedia batalkan konsertnya demi penyokong Harimau Malaya

Jay Chou bersedia batalkan konsertnya demi penyokong Harimau Malaya

Penyanyi terkenal Taiwan, Jay Chou sedia menangguhkan konsertnya di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang bakal berlangsung pada 15 Januari ini bagi memberi laluan kepada penyokong skuad Harimau Malaya memenuhi stadium untuk menonton perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 berdepan Thailand, Sabtu ini.

Bagaimanapun, Chou menerusi hantaran di Instagram Story berkata, persoalan itu perlu ditanya kepada penganjur sekiranya dibolehkan untuk penjadualan semula Konsert Jelajah Dunia Jay Chou di Kuala Lumpur.

“Peminat Malaysia, saya tahu kepentingan dan keutamaan anda yang sangat menyayangi bola sepak.

“Saya boleh menunda konsert saya, tiada masalah. Tetapi perkara utama adalah anda harus bertanya kepada persatuan bola sepak (Persatuan Bolasepak Malaysia) atau penganjur jika mereka boleh menjadualkan semula,” tulisnya, seperti dipetik Harian Metro.

Menurut Chou, apapun keputusan yang bakal dibuat dia hanya mahu menghiburkan peminat tercintanya di Malaysia.

“Saya hanya perlu menyanyi untuk peminat saya. Saya harap semua orang gembira untuk datang ke konsert itu,” tulisnya.

Terdahulu, susulan persediaan konsert Jay Chou yang menyebabkan 21,000 tempat duduk SNBJ terpaksa dikosongkan, akaun Facebook bintang dari Taiwan itu ‘diserang’ penyokong skuad Harimau Malaya.

Rata-ratanya meluahkan rasa tidak puas hati selepas selebriti yang bakal melangsungkan konsertnya pada 15 Januari itu menyebabkan mereka gagal mendapatkan tiket perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2022 berdepan Thailand, Sabtu ini.

Selain meluahkan rasa tidak puas hati, mereka menuntut Chou supaya menangguhkan konsert terbabit bagi memberi laluan untuk ‘pemain ke-12’ memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya.