Jazlan “ancam” lepas jawatan pengerusi MPOB jika parlimen tak bubar bulan ini

Jazlan “ancam” lepas jawatan pengerusi MPOB jika parlimen tak bubar bulan ini

Pengerusi UMNO Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakob, ‘mengancam’ untuk melepaskan jawatan sebagai pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sekiranya kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak meminta perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang memberi tempoh sehingga hujung bulan ini bagi kerajaan membubarkan Parlimen.

Beliau juga mahu menzahirkan pendirian tidak bersedia berkerjasama dengan kerajaan PN.

“Sudah pasti saya ada maruah, saya ada prinsip. Saya tidak mahu hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

“Kalau saya tarik diri saya akan sertakan sekali (surat) peletakan jawatan. Saya tidak pentingkan jawatan, saya pentingkan maruah,” katanya lapor Astro Awani.

Katanya, jawatan pengerusi MPOB adalah “kuota” bagi Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN

Namun sekiranya UMNO membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan kerajaan PN, maka jawatan itu perlu dikembalikan, katanya.

Jazlan dilantik sebagai pengerusi MPOB pada 8 Apr tahun lepas bagi menggantikan Mohd Bakke Salleh yang berkhidmat sehingga 31 Mac 2020.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/04/ketua-umno-kelantan-sedia-letak-jawatan-pengerusi-mpob-jika-kerajaan-gagal-bubar-parlimen/