Jejaskan persiapan PRN, Peja rayu agar SPRM tarik semula arahan beku akaun

Jejaskan persiapan PRN, Peja rayu agar SPRM tarik semula arahan beku akaun

Sebagai sebuah parti kecil dan “tidak mempunyai wang yang banyak”, tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun parti mampu menjejaskan kempen jika pilihan raya negeri berlangsung dalam tempoh terdekat, kata Ahmad Faizal Azumu.

Memetik portal FMT, Timbalan presiden Bersatu itu berkata, beliau “tidak tahu” tindakan itu berkaitan isu apa sehingga beberapa akaun partinya dibekukan, sejak tiga minggu lalu.

“Kalau tidak ada duit langsung, nak jalankan pilihan raya bukan mudah. Jadi, ia akan menekan usaha kita dalam kempen nanti.

“Tetapi kalau perlu kita berjalan, berjumpa dengan rakyat seorang demi seorang setakat mana yang kita mampu, kita akan teruskan,” katanya menurut Sinar Harian.

Bekas menteri belia dan sukan itu, berkata beliau mahu SPRM melakukan siasatan segera memandangkan pembekuan akaun menimbulkan masalah kepada parti.

“Kita telah memberi kerjasama yang baik dengan pihak SPRM. Kita berharap agar mereka segera dapat lakukan siasatan kerana apabila akaun parti ini dibekukan, kita ada masalah untuk operasi parti seperti membayar gaji pekerja dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, bekas pembantu Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, dilapor menyiarkan penyata akaun Bersatu bagi 2020 dan 2021 yang diaudit.

“Bagi yang tuduh Bersatu terima RM4 bilion daripada RM92.5 bilion dana pakej rangsangan ekonomi boleh lihat penyata akaun parti tahun 2020 dan 2021 yang telah diaudit.

“Akaun yang diaudit ini telah dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu. Ia telah difailkan di RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia) dan merupakan dokumen awam. Tak boleh tipu punya,” katanya dalam kenyataan di laman web Bersatu.