Jelas!!! Akhirnya Muhyiddin tunjukkan Zahid siapa bos Umno sebenar

Jelas!!! Akhirnya Muhyiddin tunjukkan Zahid siapa bos Umno sebenar

[DIKEMAS KINI] Seramai 14 menteri daripada UMNO mencapai persepakatan untuk terus kekal berada dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, persepakatan itu dicapai dalam pertemuan bersama Menteri UMNO pada Isnin lalu.

“Menteri-menteri UMNO telah datang meminta nasihat mengenai kedudukan mereka dalam Kabinet berikutan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 bahawa parti itu akan memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, nasihat diberikan agar mereka kekal dalam kerajaan dengan mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

“Pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19, melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, dalam senarai Kabinetnya, terdapat beberapa orang Menteri UMNO memegang portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan.

“Justeru, saya tidak mahu peletakan jawatan mereka menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya.

Sehubungan itu, Muhyiddin memberi jaminan Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang.

“Alhamdulillah, atas nasihat yang saya berikan, kesepakatan telah dicapai bahawa semua Menteri UMNO akan terus kekal berada di dalam Kabinet,” katanya.

Pada Ahad lalu, PAU 2020 meluluskan usul supaya tiada kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN diteruskan hingga pembubaran Parlimen.

Ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu diluluskan sebulat suara.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah ketika bercakap kepada pemberita berkata, semua ahli UMNO yang memegang jawatan dalam Kabinet kerajaan PN termasuk diberikan jawatan dalam syarikat bekaitan kerajaan (GLC) diminta menarik diri bermula Ahad.

Antara Menteri UMNO yang memegang portfolio penting dalam Kabinet PN ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Luar), Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Sains Teknologi dan Inovasi) dan Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan).

Turut tersenarai ialah Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli), Datuk Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi) dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan).

Muhyiddin turut melantik Datuk Halimah Mohamed Sadique sebagai Menteri Perpaduan Negara.

Timbalan Menteri yang dilantik dalam kalangan pemimpin UMNO ialah Mastura Yazid

(Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri – Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Timbalan Menteri Dalam Negeri I), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Seri Ahmad Hamzah (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I) dan Datuk Abdul Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I). – SH