Jelas, Hamzah tiada kuasa halang pertukaran anggota polis

Jelas, Hamzah tiada kuasa halang pertukaran anggota polis

Menteri Dalam Negeri tidak ada kuasa untuk menangguhkan atau campur tangan dalam arahan Ketua Polis Negara (KPN) terhadap apa-apa kuasa seperti yang terkandung dalam Akta Polis 1967.

Peguam M Hafiz Zainol berkata, lantikan setiap anggota polis dari peringkat bawah sehingga atasan adalah mengikut Akta Polis.

“Menteri tak ada hierarki dalam pentadbiran polis.

“Menteri hanya boleh campur tangan berkenaan kawalan mengikut Akta Polis,” katanya pada Ahad.

Ujarnya, Seksyen 4(1) Akta Polis 1967 menyatakan pasukan polis hendaklah berada di bawah perintah KPN dan bertanggungjawab kepada menteri bagi kawalan dan arahan pasukan.

“Jadi maksudnya, berkenaan dengan perintah, arahan utama ialah daripada KPN.

“Yang boleh melangkaui perintah KPN adalah Yang di-Pertuan Agong sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, terdapat pelbagai peraturan, pekeliling dan perintah yang perlu dibaca bersama dengan Seksyen 4(1) Akta Polis 1967 dalam isu tersebut.“Dari segi fungsi KPN, jelas beliau berkuasa dalam pentadbiran Polis Diraja Malaysia.

“Secara keseluruhan perlu dilihat peraturan termasuk pekeliling mengenai kuasa KPN dalam isu pertukaran pegawai polis,” katanya. – SH