Jemaah sakan tayang emas Mekah 180g, siap bagitahu nilai RM30 ribu, terus diburu Lembaga cukai
Gelagat seorang jemaah haji yang dipercayai baru turun daripada kapal terbang telah berjaya menarik perhatian orang ramai, baru-baru ini.
Mana tidaknya, wanita berkenaan tampil dengan gaya glamor sambil mengenakan barang kemas yang kononnya baru dibeli di Arab Saudi.
Wanita berkenaan mendakwa, beberapa utas rantai dan gelang emas tulen yang dipakainya itu dianggarkan seberat 180 gram (180g).
Tular di media sosial, gelagat wanita itu saat mempamerkan barang kemas perhiasannya sempat dirakam dan dikongsi di laman TikTok.
Menerusi video yang beredar, jemaah haji yang berusia 46 tahun itu berkongsi bahawa emas itu dibeli dengan harga RM368 per gram.
@photoaja88 Manusia Emas Pulang dari Tanah Suci#haji #makassar #jgnfyp #indonesia #sulawesiselatan
Difahamkan, wanita yang bernama Suarnati Daeng Kanang itu merupakan penduduk yang berasal dari Makassar, Sulawesi Selatan, Indonesia.
Gembira hanya seketika, pihak Jabatan Kastam dan Cukai Indonesia kemudian memaklumkan akan menjalankan siasatan ke atas Suarnati.
Hal ini kerana, jemaah haji hanya dibenarkan untuk membeli barang dari luar negara dengan had nilai tidak melebihi USD$500 atau RM 2335.
Ketua Jabatan Kastam dan Cukai Makassar, Zaeni Rahman berkata, Suarnati bakal dikenakan cukai import sekiranya dia melanggar peraturan itu.
“Kita jalankan siasatan dahulu. Kemungkinan perhiasan itu dipakai sebelum berangkat ke Mekah. Kemudian dipakai semula ketika pulang ke sini.
“Perkara itu yang perlu diberi penjelasan (daripada Suarnati) terlebih dahulu, jangan sampai kita keliru,” kata Zaeni memetik CNN Indonesia.
Setelah soal siasat selesai dijalankan, pihak kastam memaklumkan bahawa perhiasan yang dipakai Suarnati itu sebenarnya emas palsu atau tiruan.
Diakui sendiri oleh Suarnati, pihak kastam juga telah menjalankan kerjasama dengan pihak gadaian yang mengesahkan kepalsuan barang kemas itu.
Memang benar dibeli di Mekah, kesemua emas tiruan itu dianggarkan hanya bernilai 900,000 rupiah atau bersamaan dengan RM277.07.