“Jenazah terbaring dan terdengar dengkuran keras..” – Angkara tanah pusaka, adik hantar sihir kunci roh pada abang

“Jenazah terbaring dan terdengar dengkuran keras..” – Angkara tanah pusaka, adik hantar sihir kunci roh pada abang

 

Gara-gara ingin puaskan kehendak diri dengan harta kemewahan, ada individu yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk tanpa mengira saudara atau kawan.

Seorang perawat berkongsikan kisah ketika dia merawat seorang pesakit yang telah disahkan oleh doktor sudah meninggal dunia. Namun begitu, dengkuran mangsa mengejutkan semua.

“Pernah Tok rawat seorang pesakit yang sudah disahkan meninggal dunia, tapi bila dibawa balik, jenazah berdengkur seperti orang tidur lena.

“Sampai di rumah mangsa, jenazah terbaring dan terdengar dengkuran keras dari jenazah. Kami minta semua beredar sedikit. Mata pesakit tertutup rapat. Bila Tok pegang di pelipat tangan bacakan beberapa potong ayat, tangannya bertindak balas. Semua terkejut,” katanya.

‘Aku nak dia mati!’

Setelah melihat tindak balas mangsa, guru kepada perawat ini menyatakan mangsa telah terkena sihir kunci roh.

“Bila roh terkunci jasad seperti mati. Kalaulah dia tidak berdengkur, orang dah tanam dia hidup-hidup dan dia akan mati dalam tanah. Inilah bahayanya sihir kunci roh.

“Kami mulakan rawatan Ruqyah seperti biasa. Bila baca, bahagian kaki mula bergerak, kemudian Tok letak tapak tangan di bahagian pusat pesakit, badannya pula mula bergerak-gerak, letakkan pula di ubun, mata dia terbuka dan menjeling ke arah kami. Guru Tok senyum dan perbicaraan bermula.

“Kenapa kau kacau kerja aku? Aku nak dia mati!”

“Aku nak kau tinggalkan tubuh ini, kalau tak Allah akan binasa kan kau”

“Aku tak nak! Aku tak nak! Minah, tolong aku… Minah tolong aku halau orang ni!” katanya.

Mereka saling berpandangan apabila nama Minah disebut dalam perbualan itu.

“Kami pelik siapa Minah (bukan nama sebenar)? Masing-masing yang ada dalam rumah berpandangan dan mencari siapa Minah.

“Tolonglah aku Minah, aku dah tolong kau. Orang ni nak bunuh aku Minahhhhh!” katanya.

‘Puas hati aku, tapi kau tak mati pulak!’

Guru perawat ini kemudiannya memintanya mencabut paku yang terdapat di dalam rumah mangsa dan dia terlihat satu paku yang tergantung bingkai gambar.

“Tok minta waris cabut paku itu. Lepas dapat paku itu guru Tok ambil dan letak pada ibu jari kaki mangsa. Jin dalam tubuh meraung-raung dan menjerit-jerit panggil nama Minah.

“Guru tok kata…”Aku tahu Minah ada di dalam rumah ini. Kalau kau tak nak sakit, kau pergi pada tuan kau sekarang dan kalau tidak kau akan mati“. Tiba-tiba ada suara perempuan dalam rumah tu menjerit-jerit di bahagian dapur rumah. Dia kerasukan.

“Ya aku Minah… aku Minah… Hahahahahaha! Puas hati aku, tapi kau tak mati pula,” katanya.

Perawat ini meminta waris membawa Minah berdepan dengan mereka dan bertanyakan tentang masalah yang dihadapi Minah dengan mangsa.

Menurut Minah, dia mahukan semua tanah yang ada pada mangsa dan mangsa enggan berbuat demikian sehingga memaksa Minah menggunakan cara halus.

‘Sampai hati kau Minah, nak bunuh abang sendiri’

Kemudiannya, perawat bertanyakan pilihan kepada si pelaku sama ada tinggalkan tubuh mangsa atau mati. Tetapi si pelaku hanya mahukan mangsa mati. Melihat kedegilan si pelaku, perawat membaca Ruqyah dan meletakkan sebiji lada hitam di ibu jari pelaku sehingga si pelaku merayu dan meminta maaf.

“Lebih kurang 30 minit menahan sakit, jin dalam tubuh Minah berlalu pergi dengan izin Allah. Selesai je Minah, kami dengar mangsa sihir tersedak. Dia bangun dan menangis,” katanya.

Rupa-rupanya Minah merupakan adik kepada mangsa.

“Sampai hati kau Minah, kau adik aku. Kau buat aku macam ni, aku bukan nak bolot semua harta. Aku cuma diamanahkan sahaja untuk bagi sama rata. Kenapa kau nak semua harta arwah abah?

“Sanggup kau nak bunuh aku abang kandung kau disebabkan harta? Ini ke balasan kau sepanjang mak abah tak ada aku jaga kau. Aku didik kau, aku bela kau, tolong kau, sampai kau berjaya,” katanya.

Namun begitu, dikatakan Minah bertindak demikian kerana hasutan suaminya.

“Minah hanya menangis teresak-esak, suami Minah tergesa-gesa keluar dari rumah. Sebenarnya apa yang berlaku semua atas hasutan suami Minah sebab tamak haloba.

“Minah tak nak buat benda-benda ni. Tapi suami Minah yang tak ada kena mengena dengan harta pusaka yang beria-ria dan hasut Minah untuk bunuh abang dia dengan cara sihir.

“Begitulah kisah harta pusaka, sanggup menyihir darah daging sendiri. Kadang-kadang bukan darah daging sendiri yang sanggup lakukan tapi hasutan dari pasangan sendiri,” katanya.