Jeti roboh di Sabah, 25 murid dan guru jatuh dalam air

Jeti roboh di Sabah, 25 murid dan guru jatuh dalam air

 

Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak terlibat bagi menyiasat insiden jeti roboh di Pulau Pababag, Semporna yang melibatkan lebih 25 orang murid dan guru.

KPM menerusi satu kenyataan media berkata, sesi libat urus itu juga bagi membincangkan cadangan penambaikan kemudahan infrastruktur tersebut bagi mengelakkan insiden sama berulang.

“KPM ingin merujuk kepada insiden jeti roboh di Kampung Pababag, Semporna, Sabah yang melibatkan lebih kurang 25 orang murid sekolah termasuk murid tabika KEMAS dan dua orang guru Sekolah Kebangsaan Pulau Pababag pada pukul 6.45 pagi (semalam).

“Sebagai makluman, laporan awal diperoleh dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna mendapati insiden tersebut berlaku semasa murid sedang menaiki jeti di kampung untuk ke sekolah.”

2 murid cedera ringan lain semua selamat

Menurut KPM, insiden runtuhan tersebut turut menyebabkan dua murid cedera ringan manakala mangsa lain dilaporkan selamat.

Kementerian berkenaan menerusi Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Semporna juga telah mengambil langkah dengan menyediakan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat selain memohon kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif.

“KPM memandang serius terhadap insiden tersebut dan akan memastikan aspek keselamatan ditingkatkan dengan mewajibkan pemakaian jaket keselamatan selain keadaan struktur jeti yang selamat digunakan.

“Usaha memberikan bantuan sokongan psikososial terhadap guru dan murid yang menjadi mangsa akan terus digiatkan.

“KPM juga akan memohon pihak kerajaan tempatan untuk menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat untuk murid, ibu bapa dan guru ke sekolah,” jelasnya.

Terdahulu, pengguna media sosial hangat memperkatakan mengenai penularan video semasa indisen berlaku. Jelas di dalam video tersebut terdapat lebih 20 orang murid terjatuh ke dalam air selepas jeti yang mereka gunakan roboh.

Namun rata-rata pengguna media sosial bersyukur dengan tindakan pantas para guru dan orang awam menyelamatkan kanak-kanak berkenaan.